Mesyuarat Lembaga Pengampunan selesai, nasib Najib menjadi tanda tanya: Laporan

September 18, 2026 · Politik

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Peguam Negara, Dusuki Mokhtar dilihat meninggalkan Istana Negara selepas menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, hari ini.

Menurut laporan New Straits Times, Yeoh meninggalkan pekarangan Istana Negara kira-kira jam 9.43 pagi, namun tidak memberikan sebarang komen kepada wartawan yang menunggu.

Dusuki turut dilihat meninggalkan Istana Negara selepas menghadiri mesyuarat berkenaan.

Kedua-duanya tiba di Istana Negara pada awal pagi, dengan Yeoh dilaporkan tiba sekitar jam 7.48 pagi sebelum disusuli Dusuki tidak lama kemudian.

Yeoh dan Dusuki merupakan anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Perkembangan itu mendapat perhatian selepas Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki memuat naik hantaran ringkas di media sosial kira-kira sejam sebelum kedua-dua individu berkenaan meninggalkan Istana Negara.

“Alhamdulillah,” tulis Asyraf Wajdi dalam hantaran tersebut tanpa memberikan penjelasan lanjut.

Mesyuarat hari ini berlangsung kira-kira seminggu selepas Lembaga Pengampunan menangguhkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Najib Razak ke persidangan akan datang.

Pergerakan keluar masuk Istana Negara turut menjadi tumpuan petugas media yang berkumpul sejak sekitar jam 7.30 pagi bagi mengikuti perkembangan mesyuarat berkenaan.

Pada masa sama, wartawan turut ditempatkan di sekitar kediaman Najib di Jalan Duta dan Penjara Kajang, tempat bekas Perdana Menteri itu kini menjalani hukuman penjara.

Perkembangan itu turut berlaku selepas Yeoh menafikan dakwaan dia menandatangani perintah tahanan rumah untuk Najib.

Beliau menyifatkan dokumen yang tular di media sosial sebagai palsu dan meminta orang ramai tidak menyebarkannya.

“Tolong jangan sebarkan dokumen palsu ini. Setiausaha akhbar saya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Setiausaha Akhbar Yeoh, Ahmad Fazli Yadi turut memaklumkan menteri itu menafikan pernah menandatangani surat berkenaan dan menyifatkannya sebagai fitnah.

Isu itu timbul susulan laporan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijadualkan bersidang semula hari ini bagi mempertimbangkan permohonan Najib.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas sabitan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International. Pada Januari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman asal 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib sebelum ini memohon supaya baki hukumannya dijalani di bawah tahanan rumah dengan mendakwa wujud titah tambahan yang mengiringi keputusan pengampunan pada 2024.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak permohonan tersebut sebelum Najib menarik balik rayuannya terhadap keputusan berkenaan.

Berita berkaitan
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
7 jam lalu· Isu semasa
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
10 jam lalu· Politik
Tahanan rumah Najib: Mahfuz persoal asas undang-undang pengampunan
10 jam lalu· Politik
RM50 juta belum dibayar, Najib masih tunggu proses tahanan rumah: Laporan
10 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Krisis takhta NS, Syahredzan nasihat jangan cabar institusi Raja sesuka hati
2 jam lalu · Politik
Ab Rauf titip tiga pesan sebelum DUN Melaka dibubar
2 jam lalu · Politik
PUTRA lapor polis, dakwa Exco Negeri Sembilan ganggu institusi Raja
2 jam lalu · Politik
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
10 jam lalu · Politik
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
12 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok