Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
PKR Negeri Sembilan menyatakan sokongan terhadap kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, susulan titah Baginda membatalkan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa serta-merta.
Timbalan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, pihaknya melihat keputusan berkenaan sebagai langkah mempertahankan kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
Menurutnya, pembatalan pelantikan Exco itu berlaku selepas mereka didakwa memberi arahan kepada penjawat awam negeri berkaitan pewartaan yang bertujuan melucutkan tahta Tuanku Muhriz.
“Pada pandangan kami, tindakan Exco adalah perbuatan derhaka, yang secara tidak langsung menjejaskan keharmonian rakyat, mencetuskan kecelaruan umum dan menghakis keyakinan terhadap Institusi Diraja Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan media.
PKR Negeri Sembilan turut merujuk kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 September lalu berkaitan proklamasi bertarikh 19 April 2026 mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar.
Menurut PKR, AGC menyatakan proklamasi itu tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Dalam perkembangan sama, PKR Negeri Sembilan menyifatkan tindakan Istana sebagai langkah mempertahankan kedaulatan Institusi Diraja daripada terus terheret dalam kemelut politik negeri.
“Kami juga berpendapat, kebangkitan Istana adalah tepat pada masa demi mempertahankan kedaulatannya daripada terus dicemari oleh angkara permainan politik Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di Negeri Sembilan,” katanya.
PKR Negeri Sembilan turut memuji penjawat awam negeri yang, menurut dakwaan parti itu, tidak melaksanakan arahan Exco berkaitan pewartaan pelucutan tahta Tuanku Muhriz.
Menurut Edy, tindakan penjawat awam terbabit wajar dijadikan contoh dalam mempertahankan prinsip perlembagaan serta Institusi Diraja.
Dalam masa sama, PKR Negeri Sembilan menyeru rakyat supaya kekal tenang, menghormati proses undang-undang dan menyerahkan sebarang pertikaian berkaitan kedudukan Institusi Diraja kepada saluran perlembagaan serta undang-undang yang sah.
Perkembangan itu berlaku ketika Negeri Sembilan berdepan pertikaian politik dan perlembagaan berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz serta pelantikan anggota pentadbiran negeri.
PKR Negeri Sembilan menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan Institusi Diraja sambil menggesa semua pihak menjaga keharmonian negeri dan menghormati proses perundangan.
Sheikh Umar: Sepatutnya Zahid patut letak jawatan, bukan Loke
PKR Kedah tolak gesaan supaya bubar Parlimen awal
G25 mahu rakyat tahu nasihat AG mengenai tahanan rumah Najib
Pengampunan Najib: Anwar dedah apa yang dibincangkan dengan Agong
Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum