Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai

September 20, 2026 · Politik

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan bertemu Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, selepas pemimpin parti itu selesai urusan di Shanghai bagi membincangkan keputusan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Anwar berkata mahu mendengar sendiri penjelasan dan pandangan Loke sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

“Lebih baiklah saya jumpa dia dahulu, dengar pandangan dia,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.

Menurut Anwar, beliau masih belum menerima surat rasmi peletakan jawatan Loke.

Bagaimanapun, katanya, Loke sudah memaklumkan perkara itu kepadanya dan bercadang membawa surat tersebut ketika pertemuan mereka nanti.

“Belum serah surat. Semalam beliau ada maklumkan kepada saya, akan bawa surat dan nak bincang dengan saya.

“Saya kata, tak apalah, bila ada ruang kita jumpa,” katanya.

Loke sebelum ini mengumumkan keputusan untuk berundur daripada Jemaah Menteri selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang berlangsung hampir tiga jam.

Beliau menjadi satu-satunya pemimpin DAP dalam Kabinet yang mengambil keputusan itu susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Anwar berkata, beliau memahami pendirian Loke yang sejak awal konsisten menyuarakan pendirian tegas terhadap usaha membanteras rasuah dan memastikan kerajaan tidak dilihat berkompromi dalam isu integriti.

“Saya faham pendirian beliau kerana dari awal lagi beliau konsisten membantah sebarang peraturan yang boleh memberikan gambaran kerajaan lemah dalam menangani amalan rasuah.

“Terutama apabila kita ambil tindakan terhadap banyak pihak yang lain, termasuk perasuah-perasuah kecil,” katanya.

Pada Jumaat, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan Najib, 73, menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Najib turut dikenakan syarat membayar denda RM50 juta.

Sebelum ini, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada Februari 2024 mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Keputusan terbaharu itu menjadi perkembangan penting dalam kes SRC International dan turut mencetuskan reaksi daripada parti-parti dalam Kerajaan MADANI, termasuk DAP.

Berita berkaitan
Sheikh Umar: Sepatutnya Zahid patut letak jawatan, bukan Loke
September 20, 2026· Politik
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
September 20, 2026· Isu semasa
Pengampunan Najib: Anwar dedah apa yang dibincangkan dengan Agong
September 20, 2026· Politik
Pengampunan Najib: Loke pilih untuk berundur dari Kabinet
September 19, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
PKR Kedah tolak gesaan supaya bubar Parlimen awal
September 20, 2026 · Politik
G25 mahu rakyat tahu nasihat AG mengenai tahanan rumah Najib
September 20, 2026 · Politik
Bersatu tunggu keputusan RoS berhubung aduan PN: Muhyiddin
8 jam lalu · Politik
Van polis ditempatkan di kediaman Najib mulai esok
8 jam lalu · Politik
Najib kekal di Kajang selagi denda RM50 juta belum dibayar
8 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok