Najib Razak terlibat dalam skandal kewangan terbesar, 1MDB.
Usaha UMNO mengumpul dana RM50 juta bagi membantu Najib Razak melunaskan denda yang dikenakan ke atasnya menimbulkan persoalan mengenai mesej yang disampaikan kepada masyarakat mengenai kesalahan rasuah, kata Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean.
Menurut Ker Chean, kutipan Tabung Solidariti Najib Razak yang dilaporkan mencecah RM1 juta setakat ini wajar dilihat dari sudut lebih besar, terutama dalam usaha membina budaya integriti dan antirasuah di negara ini.
Beliau mempersoalkan sama ada tindakan berkenaan boleh mewujudkan persepsi seolah-olah kesalahan rasuah boleh dimaafkan apabila seseorang itu mempunyai alasan tertentu atau mendapat sokongan politik.
“Dalam negara yang mahu membina budaya integriti, kesalahan rasuah tidak sepatutnya dinilai berdasarkan niat atau populariti seseorang, tetapi berdasarkan undang-undang dan prinsip akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan media.
Ker Chean turut mempersoalkan mesej yang mungkin diterima generasi muda apabila sebuah parti politik menggerakkan kutipan dana bagi membantu pemimpinnya melunaskan hukuman kewangan.
“Jika seorang pemimpin yang disabitkan kesalahan boleh mendapat sokongan kewangan sebuah parti untuk membantu membayar hukuman kewangannya, kita perlu bertanya: adakah kita sedang membina budaya membenci rasuah, atau budaya memaafkan rasuah apabila pelakunya ialah pemimpin yang kita sokong?” katanya.
Menurutnya, solidariti terhadap pemimpin atau ahli parti tidak seharusnya mengatasi kepentingan memperkukuh institusi serta budaya antirasuah.
Ker Chean berkata parti politik mempunyai hak untuk membantu ahli dan pemimpin mereka dalam batas undang-undang, namun pada masa sama mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat untuk menunjukkan setiap penyalahgunaan kuasa mempunyai akibat.
“Parti politik juga mempunyai tanggungjawab moral kepada masyarakat untuk menunjukkan bahawa penyalahgunaan kuasa mempunyai akibat, tanpa mengira siapa pelakunya atau sebesar mana sumbangan politiknya,” katanya.
UMNO sebelum ini mengumumkan penubuhan Tabung Solidariti Najib Razak dengan sasaran RM50 juta bagi membantu bekas Perdana Menteri itu melunaskan denda berkaitan hukuman kes SRC International.
Najib disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan dalam kes SRC International membabitkan RM42 juta dan sedang menjalani hukuman berhubung kes berkenaan.
Isu tabung itu timbul susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib, termasuk pengurangan hukuman serta denda RM50 juta sebagai sebahagian daripada syarat yang ditetapkan.
Ker Chean dalam pada itu menegaskan prinsip membanteras rasuah perlu diterapkan tanpa mengira latar belakang politik seseorang.
“Kalau benar kita mahu Malaysia bebas rasuah, prinsipnya mesti mudah: jangan normalisasikan rasuah hanya kerana pelakunya daripada kelompok kita sendiri,” katanya.
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
PKR Kedah tolak gesaan supaya bubar Parlimen awal
G25 mahu rakyat tahu nasihat AG mengenai tahanan rumah Najib
Pengampunan Najib: Anwar dedah apa yang dibincangkan dengan Agong
Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum