Peguam Negara, Mohd. Dusuki Mokhtar.
Bekas perdana menteri, Najib Razak masih belum menjelaskan denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai salah satu syarat bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan di rumah.
Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar berkata, bayaran denda itu perlu dibuat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memandangkan kes berkenaan bermula dan dibicarakan di mahkamah tersebut.
“Setakat ini (semalam), keluarga Najib belum membayar denda. Bayaran perlu dilangsaikan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kes bermula dan dibicarakan di sana,” katanya seperti dilaporkan BH.
Menurut Mohd Dusuki, tempoh masa untuk Najib dibawa pulang ke rumah selepas bayaran dibuat tidak dapat ditentukan dengan tepat kerana ia membabitkan beberapa proses yang perlu diselesaikan.
“Selepas pembayaran dibuat, saya tidak boleh jangka secara tepat bila Najib akan dibawa pulang ke rumah, mungkin ambil sedikit masa,” katanya.
Beliau turut menjelaskan jumlah denda dan syarat berkaitan pengampunan berkenaan tertakluk kepada kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Jabatan Penjara akan memperincikan syarat serta tatacara yang perlu dipatuhi Najib sekiranya beliau menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.
“Jabatan Penjara akan memperinci segala syarat tahanan dikeluarkan ke atas Najib,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pengampunan bersyarat terhadap Najib, termasuk membenarkannya menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Najib kini menjalani hukuman penjara berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd. Beliau sebelum ini dijatuhi hukuman penjara dan denda dalam kes berkenaan selepas proses rayuan di mahkamah.
Pada masa sama, Najib turut berdepan perbicaraan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ketika ini masih melalui proses kehakiman di Mahkamah Rayuan.
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
PKR Negeri Sembilan pertahan keputusan Tuanku Muhriz, persoal tindakan Exco
PRN Melaka: PH sedia jalan sendiri jika BN tak berminat kerjasama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum