Majlis Peguam.
Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Januari tahun depan untuk memutuskan rayuan Majlis Peguam berhubung permohonan mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan membabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Peguam Zainur Zakaria yang mewakili Majlis Peguam mengesahkan tarikh keputusan itu kepada Bernama.
Rayuan berkenaan berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 yang mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, selain mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada 31 Julai lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Lim Chong Fong bersama Azhahari Kamal Ramli dan Leonard David Shim mendengar rayuan berkenaan sebelum menangguhkan keputusan.
Majlis Peguam memfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi pada November 2024 menolak permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.
Permohonan asal difailkan pada 26 April 2024 dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.
Dalam permohonan itu, Majlis Peguam memohon deklarasi mahkamah untuk mengisytiharkan keputusan Lembaga Pengampunan berhubung pengurangan hukuman Najib sebagai tidak sah, tidak berperlembagaan dan terbatal.
Ia turut mencabar pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib, 73, sebelum ini menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula 23 Ogos 2022 selepas disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Beliau kemudian memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika status pengampunan Najib kembali menjadi perhatian susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan dalam rumah, tertakluk kepada syarat tertentu termasuk pembayaran denda RM50 juta.
Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, pada Isnin dilaporkan berkata Najib masih belum membayar denda berkenaan.
Keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Januari nanti akan menentukan sama ada Majlis Peguam memperoleh kebenaran untuk meneruskan cabaran kehakiman terhadap keputusan Lembaga Pengampunan itu.
AGC: Kerajaan Negeri Sembilan tiada kuasa gantung dua pegawai kanan
Sivamalar soal Akmal: Kenapa diam isu Istana Negeri Sembilan?
Krisis Negeri Sembilan: MB umum dua pegawai kanan digantung tugas
Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan
DUN Melaka sah bubar esok, PRN bakal diadakan: Ab Rauf
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum