Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyebaran kandungan di media sosial yang dipercayai menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melalui detik dukacita susulan pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC berkata penggunaan teknologi bagi mengubah rakaman sebenar sehingga mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu kejadian atau menjejaskan maruah individu dan keluarga tidak wajar dipandang ringan.
Lebih-lebih lagi, kandungan itu membabitkan ketika keluarga Dr Mahathir sedang melalui tempoh berkabung selepas pemergian Siti Hasmah.
“Penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar sehingga boleh mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa atau menjejaskan maruah individu dan keluarga adalah suatu perkara yang tidak wajar dipandang ringan,” menurut MCMC.
MCMC berkata pihaknya sudah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan berkenaan.
Sekiranya penelitian mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan yang dimanipulasi sehingga boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan pihak lain.
Orang ramai juga digalakkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi, selain melaporkan kandungan yang disyaki dimanipulasi kepada platform media sosial atau pihak berkuasa berkaitan.
Menurut MCMC, perkembangan AI membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat, namun penggunaannya perlu disertai tanggungjawab.
“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan,” katanya.
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum