Kes buli di sekolah.
Sebanyak 5,681 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, kata Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, angka itu membabitkan pelbagai bentuk buli termasuk fizikal, lisan, bukan lisan dan buli siber, sekali gus menunjukkan keperluan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa.
Anwar berkata, jumlah kes sebenar dipercayai lebih tinggi kerana terdapat kemungkinan kejadian buli yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa atau sekolah.
“Dari segi laporan kes salah laku buli dari Januari sampai Ogos 2026, sebanyak 5,681. Itu yang dilapor. Tentunya lebih besar daripada yang tidak lapor.
“Ini maknanya buli fizikal boleh, lisan, buli bukan lisan, buli siber. Kita patut tingkatkan lagi kefahaman masyarakat dan ibu bapa supaya dapat mengekang perkara ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan untuk meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), termasuk memastikan mereka hadir serta memahami isu yang berlaku di sekolah.
Anwar berkata, peranan ibu bapa dan PIBG perlu diperkasakan bagi membantu sekolah menangani masalah buli, termasuk kejadian yang berlaku di luar waktu persekolahan.
Katanya, usaha menangani buli tidak boleh hanya diletakkan di bahu guru dan pihak sekolah kerana ibu bapa turut mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk akhlak serta tingkah laku anak-anak.
“Apakah peranan PIBG? Peranan ibu bapa selain daripada guru dan sekolah, kerana banyak juga kejadian yang berlaku selepas waktu persekolahan,” katanya.
Pada masa sama, Anwar juga menegaskan aspek pendidikan perlu berjalan seiring dengan pembentukan akhlak dan adab, terutama dalam menghadapi cabaran sosial yang semakin kompleks.
Beliau berkata, peningkatan kes buli menjadi antara ujian besar kepada masyarakat dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk membendungnya.
Isu buli di sekolah kembali mendapat perhatian apabila beberapa kes melibatkan pelajar dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini, termasuk kejadian yang mencetuskan kebimbangan ibu bapa terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Kerajaan sebelum ini turut menekankan kepentingan kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam memastikan persekitaran pendidikan yang lebih selamat serta bebas daripada budaya buli.
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
Kapal bawa ketamin RM785 juta milik syarikat Malaysia: Polis
23 kawasan catat IPU tidak sihat, Seremban tertinggi setakat 4 petang
Jangan serah keselamatan digital anak kepada platform semata-mata
Dana Inovasi Media: Fahmi mahu AI bantu wartawan, bukan ganti mereka
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum