Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak disahkan berkaitan Belanjawan 2027, termasuk grafik, imej dimanipulasi atau kandungan yang dipaparkan seolah-olah pengumuman rasmi kerajaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pengguna media sosial perlu lebih berhati-hati terhadap kandungan yang menggunakan gambar atau logo organisasi media bagi mewujudkan tanggapan seolah-olah maklumat itu datang daripada sumber rasmi.
Beliau berkata, terdapat kemungkinan pihak tertentu cuba mendahului pembentangan Belanjawan 2027 dengan menghasilkan kandungan yang belum tentu mempunyai kaitan dengan pengumuman sebenar kerajaan.
“Saya menjangkakan mungkin ada pihak yang cuba mendahului ucapan Perdana Menteri. Tidak perlulah menggunakan media sosial untuk berbuat demikian.
“Mungkin ada pihak yang menyalahgunakan gambar atau logo organisasi media dan menghasilkan grafik yang sebenarnya langsung tiada kaitan dengan apa yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Kementerian Komunikasi bernilai RM9 juta di Labuan, hari ini.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.
Sehubungan itu, Fahmi menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat terus daripada siaran rasmi pembentangan Belanjawan 2027 serta membuat semakan silang terhadap kandungan yang tular di media sosial.
Katanya, laporan daripada organisasi media yang mempunyai kredibiliti seperti Bernama dan RTM boleh dijadikan rujukan bagi mendapatkan maklumat sahih.
“Semak dengan teliti sama ada maklumat itu sahih atau sebaliknya. Jangan terus percaya atau berkongsi sesuatu maklumat hanya kerana ia kelihatan meyakinkan atau memaparkan logo sesebuah organisasi media,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai melaporkan kandungan mencurigakan atau disyaki palsu kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata MCMC bersama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dijangka menganjurkan program kesedaran mengenai penipuan di Labuan pada 31 Oktober ini.
Program itu akan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai taktik dan strategi terkini yang digunakan penjenayah siber, selain langkah yang boleh diambil bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa.
“Kita mahu masyarakat Labuan dilengkapi dengan maklumat terkini mengenai kaedah yang digunakan penjenayah penipuan, langkah perlu diambil untuk melindungi diri serta tindakan yang perlu dilakukan sekiranya menjadi mangsa.
“Ini termasuk memahami langkah segera yang boleh diambil sekiranya wang telah dicuri atau dipindahkan secara tidak sah melalui penipuan,” katanya.
Fahmi berkata, kesedaran mengenai modus operandi penipuan yang sentiasa berubah penting bagi membolehkan orang ramai mengenal pasti aktiviti mencurigakan lebih awal dan bertindak pantas bagi mengurangkan risiko kerugian kewangan.
Menjelang pembentangan Belanjawan 2027, orang ramai turut dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan poster, grafik atau petikan yang tular di media sosial sebelum maklumat itu disahkan melalui saluran rasmi.
Anwar: Waze mungkin diharamkan demi keselamatan negara
BDS sokong larangan Waze, minta pertimbang juga tamatkan kontrak AWS
Kes cabul anak pegawai kanan polis: Arkitek bergelar Datuk dihadapkan ke mahkamah
Anwar doakan Ustaz Wadi Annuar segera pulih selepas terlibat kemalangan
Belanjawan 2027: STR, SARA RM16 bilion kekalkan kuasa beli rakyat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum