Dr Zulkifli Hasan.
Dakwaan seorang pemuda Melayu berusia 21 tahun terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam sedang diteliti susulan penularan rakaman video berkaitan di media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut bidang kuasa pihak berautoriti serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sebarang tindakan diambil berasaskan fakta dan hasil siasatan pihak berautoriti demi memelihara keadilan serta keharmonian masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kerajaan mengambil maklum dan memandang serius penularan video berkenaan, selain menegaskan komitmen untuk memelihara kesucian akidah umat Islam.
Menurutnya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan yang terbukti menyeleweng daripada akidah Islam, dengan setiap tindakan perlu berpandukan hasil siasatan serta undang-undang.
Isu itu mencetuskan perhatian selepas beberapa hantaran di Facebook yang menggunakan nama akaun Masyitah Ashari mendedahkan dakwaan penglibatan pemuda terbabit dalam pelbagai amalan spiritual.
Antara yang disebut termasuk ritual keagamaan, ramalan menggunakan kad Tarot serta kepercayaan spiritual lain yang dikaitkan dengan New Age Movement (NAM).
Pendedahan berkenaan dibuat secara berperingkat sejak beberapa hari lalu, sekali gus mengundang perhatian pengguna media sosial.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan masih memerlukan pengesahan melalui siasatan pihak berkuasa dan tidak wajar dianggap sebagai fakta muktamad sebelum hasil siasatan diperoleh.
Kerajaan menegaskan sebarang tindakan berkaitan isu agama perlu dilaksanakan berdasarkan bukti, bidang kuasa serta undang-undang bagi memastikan keadilan terpelihara dan keharmonian masyarakat tidak terjejas.
Pempengaruh digesa jangan eksploitasi isu 3R demi populariti: Yuneswaran
Belanjawan: M40 nikmati pelepasan cukai lebih tinggi tahun depan
Belanjawan 2027 dijangka pacu pelaburan berkualiti: MIDA
KWSP perkenal potongan zakat dividen Simpanan Syariah
Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, tidak hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum