Penjawat awam kini boleh menikmati rebat 20 peratus bagi langganan keahlian Pandapro selama 12 bulan menerusi Insentif Rebat RAHMAH pandapro Penjawat Awam 2026 yang dilancarkan Kementerian Komunikasi hari ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, inisiatif hasil kerjasama strategik antara kementerian itu dengan platform penghantaran makanan foodpanda bertujuan membantu meringankan kos sara hidup penjawat awam.
Insentif berkenaan turut menyokong pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) untuk warga perkhidmatan awam di seluruh negara.
Menerusi tawaran khas itu, penjawat awam yang mempunyai alamat e-mel rasmi kerajaan dengan domain @xxx.gov.my layak mendapatkan diskaun 20 peratus bagi pelan langganan pandapro untuk tempoh setahun.
“Penawaran khas ini bertujuan memberikan kemudahan serta membantu meringankan beban kos sara hidup warga perkhidmatan awam dalam menjalani rutin kerja harian,” menurut kenyataan Kementerian Komunikasi.
Tempoh penebusan insentif itu dibuka menerusi aplikasi foodpanda bermula 14 Oktober hingga 31 Disember 2026.
Penjawat awam yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan langkah penebusan menerusi dokumen Soalan Lazim (FAQ) yang disediakan di portal rasmi serta saluran media sosial Kementerian Komunikasi.
Pelaksanaan inisiatif itu mencerminkan usaha Kerajaan MADANI untuk bekerjasama dengan sektor swasta dalam menyediakan manfaat tambahan kepada penjawat awam, khususnya ketika kos sara hidup terus menjadi perhatian rakyat.
Kementerian Komunikasi berkata, kerjasama strategik seperti itu turut menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan serta menghargai sumbangan penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara.
Pelancaran insentif itu berlangsung sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Oktober 2026.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Abdul Halim Hamzah; serta pengurusan tertinggi kementerian.
Lebih 9,600 akaun keldai sudah dikenakan tindakan
Kerajaan sasar 500,000 pekerjaan baharu menerusi teknologi AI: Menteri Ekonomi
Mohamad Hasan sahkan rakyat Malaysia di Riyadh selamat
Akta Perkhidmatan Parlimen perkukuh reformasi institusi: Anwar
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum