Tuanku Muhriz: Pertahan adat ikut aturan, bukan kepentingan diri

October 14, 2026 · Isu semasa

Sebarang pertikaian berkaitan kedudukan dan pewarisan takhta di Negeri Sembilan perlu diselesaikan mengikut adat serta undang-undang, bukannya didorong kepentingan atau kehendak peribadi.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, tindakan mempertahankan adat dengan melanggar aturan yang ditetapkan hanya akan menjejaskan kewibawaan institusi adat dan istana, selain berisiko menggugat kestabilan negeri.

Baginda bertitah, pihak yang sejak beberapa bulan kebelakangan ini mencetuskan pertikaian terhadap aturan warisan atas alasan mempertahankan adat perlu memahami prinsip sebenar yang menjadi asas kepada sistem berkenaan.

“Sebarang pertikaian berkaitan kedudukan atau pewarisan takhta mestilah diselesaikan berdasarkan adat dan undang-undang yang berkenaan, bukannya mengikut kepentingan atau kehendak peribadi.

“Adat tidak boleh dipertahankan dengan melanggar aturan adat itu sendiri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap bagi Menzahirkan Kejadian Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu Ke-17 di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.

Tuanku Muhriz turut menegaskan kewibawaan institusi Raja bergantung pada penghormatan terhadap adat, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Menurut baginda, kedudukan Raja yang tinggi dan mulia hadir bersama amanah serta tanggungjawab besar, manakala kepercayaan rakyat menjadi asas penting untuk memastikan institusi berkenaan terus dihormati.

“Kepercayaan rakyat pula merupakan asas penting bagi memastikan institusi ini terus dihormati dan dipelihara,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia meletakkan peranan Raja sebagai Ketua Negara dalam kerangka Perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Justeru, institusi Raja perlu terus berperanan sebagai payung perpaduan dan penjamin kestabilan pemerintahan, dengan kewibawaannya dipelihara menerusi integriti, keadilan serta tanggungjawab.

Dalam titah sama, Tuanku Muhriz berharap Azrin dapat menjalankan amanah sebagai Undang Luak Jelebu Ke-17 dengan penuh dedikasi, kebijaksanaan dan keinsafan, selain mengutamakan keharmonian adat serta kesejahteraan anak buah.

Baginda turut menyeru masyarakat di Luak Jelebu, Luak-Luak Berundang dan Luak Tanah Mengandung supaya terus memberikan sokongan kepada kepimpinan adat demi mengekalkan keseimbangan serta keharmonian masyarakat.

“Jadikanlah sejarah sebagai pedoman dan iktibar, janganlah kepentingan diri mengatasi kebenaran dan keadilan sehingga keselamatan, kesejahteraan serta warisan yang dipelihara turun-temurun menjadi korban,” titah baginda.

Negeri Sembilan mempunyai sistem Adat Perpatih yang mengiktiraf peranan Undang dalam urusan pemilihan Yang di-Pertuan Besar. Oleh itu, pematuhan terhadap aturan adat dan undang-undang menjadi asas penting dalam memastikan kesinambungan institusi tradisional negeri itu terus terpelihara.

Berita berkaitan
Khabar angin letak jawatan Menteri Besar, Ismail tampil beri penjelasan
October 27, 2026· Politik
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
October 22, 2026· Politik
Lantik MB baharu jika kemelut Negeri Sembilan berlarutan: Peguam
October 21, 2026· Politik
MCMC siasat akaun FB Chegubard hina institusi diraja, telefon bimbit dirampas
October 21, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
October 27, 2026 · Isu semasa
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
17 jam lalu · Isu semasa
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
17 jam lalu · Isu semasa
Ekonomi Malaysia kukuh, ringgit dijangka cecah RM3.97: Hong Leong Bank
17 jam lalu · Isu semasa
Tok Mat persoal keberkesanan UNHCR urus pelarian Rohingya
17 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok