Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri kewangan Islam global apabila meraih dua anugerah utama pada IFN Awards 2026 anjuran Islamic Finance News (IFN).
UIAM mengekalkan kemenangan dalam kategori *Best Educational Institution Offering Islamic Finance Courses* untuk tahun keempat berturut-turut sejak 2023.
Pada masa sama, Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM (IIiBF) turut meraih pengiktirafan Best Islamic Finance Research Firm bagi tahun ketiga berturut-turut selepas memenangi kategori itu pada 2024 dan 2025.
Dekan IIiBF, Prof. Dr. Romzie Rosman berkata, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh pendidikan dan penyelidikan kewangan Islam di peringkat antarabangsa.
“Ini juga menjadi penanda aras yang baik dalam usaha kami menghasilkan graduan yang lengkap dan bersedia untuk berkhidmat di institusi kewangan Islam di seluruh dunia,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Universiti (UMC), barisan dekan, pengarah serta seluruh warga universiti atas sokongan dan dedikasi dalam memastikan kecemerlangan akademik serta penyelidikan terus diperkasakan.
IFN Awards merupakan antara pengiktirafan penting dalam industri kewangan Islam global, dengan pemenang dipilih menerusi undian pemain industri, institusi kewangan dan pihak berkepentingan antarabangsa.
Kemenangan berulang itu memperlihatkan konsistensi UIAM dalam membangunkan kepakaran akademik serta menghasilkan penyelidikan yang menyokong perkembangan industri kewangan Islam.
Dalam landskap kewangan global yang semakin berkembang, institusi pendidikan dan penyelidikan memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga profesional berkemahiran tinggi, selain menyediakan idea dan penyelesaian baharu bagi memperkukuh ekosistem kewangan Islam.
Pencapaian tersebut sekali gus mengukuhkan reputasi UIAM sebagai antara institusi pendidikan yang menyumbang kepada pembangunan bakat, ilmu dan penyelidikan dalam bidang kewangan Islam di peringkat dunia.
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
Ekonomi Malaysia kukuh, ringgit dijangka cecah RM3.97: Hong Leong Bank
Tok Mat persoal keberkesanan UNHCR urus pelarian Rohingya
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum