MOF belum putuskan bantuan kewangan untuk AirAsia

October 19, 2026 · Isu semasa

Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan kerajaan setakat ini belum membuat sebarang keputusan atau komitmen untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada AirAsia Bhd, sama ada melalui jaminan, pinjaman atau suntikan dana awam.

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, MOF menegaskan sebarang permohonan sokongan kerajaan daripada syarikat dalam mana-mana sektor akan dinilai secara teliti berdasarkan kepentingan negara dan rakyat.

Penilaian itu turut mengambil kira kemampanan fiskal kerajaan serta keperluan melindungi dana awam, selaras dengan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti, dengan mengutamakan kepentingan rakyat,” menurut kementerian itu.

MOF memberikan penjelasan berkenaan bagi menjawab soalan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai pertimbangan kerajaan untuk menyediakan jaminan, pinjaman atau dana awam kepada syarikat penerbangan berkenaan.

Kementerian itu turut mengambil maklum isu berkaitan AirAsia, termasuk kerugian yang dilaporkan dalam keputusan kewangan suku tahunan terkininya.

Menurut MOF, AirAsia memaklumkan kerugian berkenaan sebahagian besarnya berpunca daripada kenaikan mendadak harga bahan api jet susulan perkembangan konflik di Asia Barat.

Dalam perkembangan sama, kerajaan menegaskan tidak akan mengulas spekulasi atau angka bantuan kewangan yang dilaporkan media bagi mengelakkan kesan terhadap pasaran, pekerja, pelanggan dan pihak berkepentingan lain.

“Sebagai sebahagian daripada pemantauan ini, kerajaan mengadakan libat urus secara berkala dengan pemain dalam ekosistem penerbangan serta mendapatkan pandangan daripada industri, pakar teknikal dan pihak lain,” menurut MOF.

Langkah itu turut dilaksanakan terhadap sektor ekonomi lain yang terjejas akibat krisis Asia Barat.

Pada 19 September lalu, media melaporkan AirAsia Group Bhd tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan kerajaan berhubung kemungkinan bantuan penyelamatan kewangan atau ‘bailout’.

Syarikat itu pada masa sama menyatakan keyakinan terhadap kedudukan mudah tunai dan kemampanan perniagaannya.

Perkembangan itu meletakkan sebarang kemungkinan sokongan kerajaan kepada AirAsia dalam penelitian lebih luas, terutama ketika industri penerbangan berdepan tekanan kos operasi susulan kenaikan harga bahan api jet.

Bagaimanapun, setakat ini, MOF belum mengumumkan sebarang komitmen pembiayaan kepada syarikat penerbangan berkenaan.

Berita berkaitan
Kawalan sempadan diperketat, 24,631 pelawat ditolak
16 jam lalu· Isu semasa
Parlimen: Speaker beri Takiyuddin tempoh hingga esok tarik balik ‘munafik’
October 21, 2026· Politik
Pelepasan cukai RM12,000, gaji bersih M40 dijangka naik Januari
October 20, 2026· Isu semasa
Hampir RM11 bilion STR, SARA disalur hingga September
October 19, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
3 jam lalu · Isu semasa
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
8 jam lalu · Isu semasa
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
10 jam lalu · Isu semasa
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
12 jam lalu · Isu semasa
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok