Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim menegaskan tiada campur tangan kerajaan dalam siasatan membabitkan Zetrix AI Bhd dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), sebaliknya mengarahkan badan penguat kuasa meneruskan siasatan secara telus.
Perdana Menteri berkata, kelewatan menyelesaikan sesetengah kes tidak bermakna kerajaan cuba melindungi mana-mana pihak atau menghalang tindakan undang-undang diambil.
Beliau turut mengesahkan arahan supaya siasatan diteruskan telah diberikan, namun menafikan sebarang arahan untuk menutup kes berkenaan.
“Apakah ada arahan supaya siasatan diteruskan? Ada. Apakah ada arahan menutup? Tidak ada,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas isu Zetrix AI Bhd, Anwar berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah membuat laporan polis, manakala Suruhanjaya Sekuriti Malaysia turut membuka fail dan menjalankan siasatan berkaitan dakwaan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Menurutnya, tindakan lanjut perlu diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan proses siasatan berjalan mengikut undang-undang.
Anwar menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai perkembangan siasatan beberapa isu berprofil tinggi, termasuk Zetrix AI Bhd, Lembaga Tabung Haji (TH) dan FELDA.
Isu berkenaan mendapat perhatian susulan persoalan mengenai ketelusan pengurusan institusi serta tindakan pihak berkuasa dalam menyiasat dakwaan yang dibangkitkan kepada umum.
Kerajaan berdepan tuntutan supaya siasatan terhadap isu berprofil tinggi dilaksanakan secara bebas dan menyeluruh, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mana-mana individu yang mungkin terbabit.
Penegasan Anwar di Parlimen itu sekali lagi meletakkan tanggungjawab kepada agensi penguat kuasa untuk menentukan hasil siasatan berdasarkan bukti, tanpa campur tangan politik.
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
Isu penilaian hartanah TH, bekas CEO dan CFO dihadapkan ke mahkamah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum