Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila teguran dan titah baginda berkaitan pentadbiran negeri disalah tafsir oleh segelintir pihak serta ahli politik sebagai cubaan mencampuri urusan kerajaan.
Baginda menegaskan, teguran tersebut bukan bertujuan mencetuskan pertelingkahan dengan kerajaan negeri, sebaliknya bagi memastikan kebajikan rakyat dan masa depan Selangor sentiasa menjadi keutamaan.
“Beta tidak mahu rakyat melihat teguran beta sebagai suatu pertelingkahan atau pergeseran antara beta dengan kerajaan.
“Sebaliknya, beta mahu setiap teguran dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab beta untuk memastikan pentadbiran negeri sentiasa mengambil berat kepentingan rakyat dan masa depan negeri Selangor,” titah baginda pada Istiadat Pemasyhuran Gelaran, Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana serta Dato’ Diraja Selangor, selain Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan baginda di Balairung Seri, Istana Alam Shah, hari ini.
Baginda bertitah, pendekatan proaktif dengan menyuarakan teguran dan pandangan terhadap pentadbiran negeri diambil demi mencapai kejayaan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut baginda, setiap kebimbangan yang disuarakan bertujuan memastikan kebajikan serta keselesaan rakyat sentiasa diberikan perhatian sewajarnya.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menegaskan baginda amat memahami peruntukan undang-undang serta tanggungjawab di bawah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di negara ini.
Baginda turut menegaskan penghormatan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 serta Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan kedudukan dan bidang kuasa Sultan.
“Selama ini, beta laksanakan pemerintahan berdasarkan amanah dan tanggungjawab yang di bawah kuasa beta.
“Beta percaya setiap pihak yang diberi amanah dalam kerajaan mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk dihormati dan dilaksanakan dengan penuh integriti,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menegaskan komitmen baginda untuk memelihara kedudukan Islam sebagai agama negeri serta memastikan agama itu terus dihormati dan diamalkan umat Islam di Selangor.
Pada masa sama, baginda menyeru seluruh rakyat Selangor supaya terus mengekalkan keharmonian dengan hidup dalam suasana aman, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Titah baginda itu mencerminkan kepentingan hubungan saling menghormati antara institusi diraja, kerajaan negeri dan rakyat dalam memastikan pentadbiran Selangor terus berjalan demi kepentingan bersama.
Penipuan dalam talian: Selangor catat kerugian tertinggi
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
RM15 juta dana kreatif dibuka 16 November: Fahmi
Anugerah Seri Angkasa iktiraf sumbangan warga penyiaran: Fahmi
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum