Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.
PKR menawarkan pembaharuan politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan menampilkan lebih ramai muka baharu, golongan muda dan wanita sebagai calon parti itu.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata pendekatan berkenaan memberi ruang kepada generasi pelapis untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan politik, selain membawa aspirasi rakyat.
Beliau berkata, daripada sembilan calon yang diketengahkan PKR, tujuh atau 77.8 peratus merupakan muka baharu, manakala empat calon atau 44.4 peratus terdiri daripada golongan muda.
“Pada masa sama, tiga calon wanita turut diketengahkan, bersamaan 33.3 peratus daripada keseluruhan calon,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut Fuziah, langkah itu mencerminkan komitmen PKR untuk membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda dan wanita dalam arena politik negara.
Kelmarin, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim mengumumkan gabungan itu akan bertanding di 21 kerusi pada PRN Melaka, dengan PKR diperuntukkan sembilan kawasan.
Sembilan calon PKR ialah Mohd Yunazri Mustamiri di Tanjung Bidara, Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan (Rembia), P Denesh (Asahan), Azman Abidin (Paya Rumput), Muhammad Hakimin Mokhtar (Ayer Molek), Esma Eazreen Husin (Rim), Muhammad Faiq Azman (Serkam), Farzana Hayani Mohd Nasir (Kelebang) dan Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya).
Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah berkata, beliau sudah mengunjungi lapan Bilik Gerakan Utama (BGU) Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak pengumuman calon dibuat bagi meninjau persiapan jentera parti.
Lawatan itu turut memberi peluang kepada beliau bertemu petugas serta membantu menyelaraskan gerak kerja jentera bagi memastikan persiapan menghadapi pilihan raya berjalan lancar.
“Siri lawatan itu akan diteruskan hingga esok bagi memastikan persiapan di peringkat kawasan berjalan baik,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRN Melaka pada 31 Oktober, manakala pengundian awal dijadualkan pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November.
PRN Melaka kali ini menjadi medan penting buat parti-parti politik menguji kekuatan jentera serta sokongan pengundi, khususnya dalam usaha menarik perhatian golongan muda dan pengundi baharu.
Zahid nafi belanja KKDW terlebih RM2.1 bilion
Parlimen: Rayer diminta hantar surat rasmi rujuk Takiyuddin ke jawatankuasa
BN letak calon di DUN Sg Udang bukti tolak Wawasan: Puad
Kes Jalur Gemilang: Representasi Akmal ditolak, mahu kemuka permohonan kedua
Bersatu bimbang mesyuarat khas MT PN berdepan risiko undang-undang
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum