Harga mingguan minyak.
Harga diesel tanpa subsidi meningkat sebanyak 20 sen seliter kepada RM5.27 bagi tempoh 29 Oktober hingga 4 November, manakala petrol RON95 dan RON97 masing-masing naik 10 sen seliter.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan harga diesel tanpa subsidi meningkat daripada RM5.07 kepada RM5.27 seliter, manakala RON95 naik daripada RM4.32 kepada RM4.42 seliter.
Harga RON97 turut meningkat daripada RM4.80 kepada RM4.90 seliter bagi tempoh sama.
Menurut MOF, kenaikan harga bahan api itu dipengaruhi pergerakan harga minyak mentah dunia susulan kebimbangan terhadap risiko gangguan bekalan, khususnya akibat perkembangan konflik di Asia Barat.
“Harga minyak mentah Brent meningkat pada minggu lalu berikutan kebimbangan terhadap risiko gangguan bekalan di Asia Barat, sebelum menyederhana sedikit pada penghujung tempoh pengiraan APM,” menurut kenyataan itu.
MOF turut menjelaskan harga diesel bertapis di pasaran serantau, khususnya Singapura, mencatat peningkatan, manakala pergerakan harga petrol menunjukkan trend bercampur.
Selain itu, penyusutan stok beberapa produk petroleum di Singapura turut menjadi antara perkembangan yang dipantau, walaupun bekalan dari Asia Timur Laut dijangka kekal stabil.
Kementerian itu berkata konflik di Asia Barat, termasuk ancaman terhadap infrastruktur tenaga dan laluan perkapalan, terus menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran bekalan petroleum global.
“Perkembangan ini menyebabkan harga petroleum dunia dijangka kekal tidak menentu dalam jangka sederhana,” katanya.
Dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global, kerajaan akan meneruskan langkah melindungi rakyat dan sektor perniagaan daripada tekanan kenaikan kos bahan api, termasuk menerusi pelaksanaan subsidi bersasar BUDI MADANI.
MOF turut memaklumkan subsidi bahan api dijangka kekal tinggi sekitar RM40 bilion pada tahun hadapan, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Kenaikan harga bahan api ini berpotensi memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna dan kos operasi perniagaan, terutama sektor yang bergantung kepada pengangkutan serta logistik.
Belanjawan 2027 angkat institusi Islam, pandangan tokoh agama diambilkira: PMX
47,412 kandungan buli siber diminta dipadam, TikTok rekod tertinggi: Fahmi
AGC ketuai siasatan khas jenayah kewangan, tiada individu atau syarikat terkecuali
56,304 kandungan palsu diturunkan sejak 2023
44 transaksi RM1 juta berkait rasuah pekerja asing, lima individu ditahan SPRM
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum