Najib Razak.
UMNO mengumumkan penutupan rasmi akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak selepas jumlah sumbangan orang ramai mencapai sasaran, susulan bekas Perdana Menteri itu selesai menjelaskan denda RM50 juta dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu turut menyelesaikan semua urusan pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Menurutnya, penutupan akaun berkenaan bermakna tiada lagi keperluan untuk UMNO meneruskan kutipan dana awam bagi membantu Najib.
“UMNO dengan ini secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan untuk penerimaan dana sumbangan orang ramai dan tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam bagi tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tabung berkenaan dilancarkan pada 18 September lalu menerusi kaedah pendanaan awam bagi membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan untuk membantu Najib melunaskan denda yang dikenakan mahkamah.
Perkembangan pembayaran itu mula menjadi perhatian apabila beberapa individu termasuk pegawai khas Najib, peguamnya, Farhan Muhammad Shafee serta seorang pemimpin UMNO dilihat berada di kaunter pembayaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejak kira-kira jam 11.30 pagi.
Tinjauan media mendapati Farhan turut berada di sekitar kaunter berkenaan, namun hanya memberikan senyuman ketika ditanya mengenai kehadirannya ke mahkamah.
Najib dilaporkan selesai menjelaskan denda RM50 juta itu di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas wakilnya melengkapkan urusan pembayaran dan prosedur pentadbiran berkaitan.
Pembayaran itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Sebelum ini, timbul spekulasi sejak Selasa lalu mengenai kemungkinan Najib melunaskan denda berkenaan bagi membolehkan pelaksanaan tahanan rumah.
Pada Oktober lalu, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri, Zamri Misman memaklumkan Jabatan Penjara Malaysia sudah memberikan penjelasan lanjut mengenai mekanisme tahanan rumah kepada Najib.
Najib menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah dalam kes SRC International membabitkan dana RM42 juta.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan. Hukuman penjara itu kemudian dikurangkan menerusi proses pengampunan diraja.
PRN Melaka: Abang Long akan jalan 10km dekati pengundi Duyong
Manifesto BN-PN: Air percuma, rumah mampu milik jadi taruhan di Melaka
Tiada kerjasama rasmi Bersatu-PH, sokongan tetap dialu-alukan: Muhyiddin
UMNO bayar denda Najib boleh beri gambaran salah kepada rakyat: PMX
PRN Melaka: Isu kemudahan asas Machap Jaya jadi fokus Ginie jika menang
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum