Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghormati keputusan UMNO untuk membayar denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Anwar secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan itu kerana bimbang ia boleh memberi gambaran salah kepada masyarakat mengenai keseriusan kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Tak mengapalah kalau itu keputusan UMNO. Dia nak bayar RM50 juta, itu kerja dia.
“Pandangan peribadi, saya tidak setuju kerana kita tidak harus memberi gambaran kepada rakyat yang kegiatan rasuah mencecah bilion ringgit itu boleh dibiarkan begitu rupa,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas, di sini, hari ini.
Anwar berkata, prinsip menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu terus dipertahankan, terutama dalam mendidik generasi muda supaya memahami kepentingan integriti dalam kehidupan.
“Apa yang kita nak didik kepada anak-anak kita ialah satu prinsip akhlak yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
“Bagaimanapun, saya menghormati keputusan UMNO kerana itu hak mereka. Untuk pendapat saya, saya sudah zahirkan,” katanya.
Terdahulu, Najib dilaporkan selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan dalam kes SRC International di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Peguam Najib, Muhammad Farhan Shafee tiba di mahkamah kira-kira jam 11.30 pagi dengan membawa sebuah beg hitam berkunci bagi menyelesaikan urusan pembayaran serta prosedur pentadbiran berkaitan.
Isu pembayaran denda itu mendapat perhatian susulan keputusan UMNO untuk membantu menjelaskan bayaran berkenaan, yang menjadi sebahagian daripada kewajipan kewangan Najib dalam kes SRC International.
Najib sebelum ini disabitkan kesalahan dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International dan dijatuhi hukuman penjara serta denda. Kes berkenaan menjadi antara kes rasuah berprofil tinggi yang mencetuskan perhatian besar terhadap isu integriti, tadbir urus dan penyalahgunaan kuasa di negara ini.
PRN Melaka: Abang Long akan jalan 10km dekati pengundi Duyong
Manifesto BN-PN: Air percuma, rumah mampu milik jadi taruhan di Melaka
Tiada kerjasama rasmi Bersatu-PH, sokongan tetap dialu-alukan: Muhyiddin
PRN Melaka: Isu kemudahan asas Machap Jaya jadi fokus Ginie jika menang
UMNO tutup kutipan derma Najib, selesai pembayaran di mahkamah pagi ini
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum