Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Malaysia mencadangkan penubuhan koridor digital rentas sempadan bagi membantu usaha pembangunan semula Palestin pascakonflik, khususnya di Gaza, Ramallah dan Tebing Barat.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu berpotensi memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang kesalinghubungan dan ekonomi digital, selain membuka peluang kepada negara peserta menyumbang kepakaran masing-masing.
Menurutnya, Malaysia melihat kerjasama digital sebagai satu pendekatan baharu untuk membantu Palestin mengatasi cabaran pembangunan, terutama selepas kemudahan infrastruktur dan komunikasi terjejas akibat konflik berpanjangan.
“Untuk melihat kerjasama yang boleh kita wujudkan, termasuk menyelesaikan beberapa masalah dalam hubungan antara negara.
“Sebagai contoh, Malaysia boleh berusaha membantu dan meningkatkan kerjasama dalam bidang digital dengan negara seperti Palestin,” katanya ketika menghadiri sesi Digital Majlis Founding Roundtable sempena Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Doha 2026 di Qatar.
Fahmi berkata, cadangan itu turut bertujuan mengeratkan hubungan Malaysia-Palestin menerusi kerangka kerjasama digital di bawah Digital Majlis.
Idea berkenaan tercetus susulan perbincangan beliau dengan Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Ekonomi Digital Palestin, Huda Al-Wahidi, mengenai cabaran membangunkan semula kawasan yang terjejas akibat konflik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pelaksanaan inisiatif itu perlu mengambil kira beberapa aspek penting termasuk kos kesalinghubungan, tahap literasi digital, keselamatan serta kebolehpercayaan sistem komunikasi.
Bagi memastikan cadangan itu dapat direalisasikan, Fahmi mencadangkan Digital Majlis menubuhkan sekretariat kerja dalam tempoh 90 hari bagi menyelaraskan maklumat negara peserta dan mengenal pasti peluang kerjasama.
Kerjasama itu juga boleh dimulakan menerusi projek berskala kecil membabitkan dua pasaran sebelum diperluaskan kepada negara lain berdasarkan keberkesanan pelaksanaannya.
Malaysia turut menyatakan kesediaan menyumbang kepakaran menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyokong usaha berkenaan.
Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) yang berlangsung di Doha dari 6 hingga 11 November ini.
Usaha itu dilihat membuka ruang kepada Malaysia untuk memainkan peranan lebih besar dalam membantu pemulihan Palestin, bukan sahaja menerusi bantuan kemanusiaan, malah melalui pembangunan infrastruktur digital yang penting bagi menyokong pendidikan, ekonomi dan kehidupan rakyat.
KWSP raih RM83.32 bilion hasil pelaburan dalam sembilan bulan
Tipu selebriti urusan hartanah, lelaki dipenjara setahun dan dua sebatan
Anwar ke Shenzhen, bakal temui Xi Jinping semasa APEC
PMKS berpeluang tembusi pasaran China menerusi ACFTA 3.0: PMX
Dua tahun terhenti, Litar Lumba Sungai Petani disasar siap 2027: Sanusi
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis