Saifuddin Nasution Ismail.
Semua banduan mempunyai hak untuk mengemukakan petisyen pengampunan selepas selesai melalui proses kehakiman di mahkamah, tanpa mengira status atau latar belakang mereka.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, hak memohon pengampunan itu terpakai kepada semua banduan, namun keputusan sama ada petisyen berkenaan diterima atau sebaliknya bergantung kepada pertimbangan Lembaga Pengampunan.
Menurutnya, petisyen yang dikemukakan akan dibawa untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan di peringkat Persekutuan atau Raja dan Sultan yang memerintah negeri masing-masing.
“Dari sudut undang-undang, hak itu sudah pun ada. Sesiapa sahaja boleh memohon. Sama ada petisyennya dilayan atau tidak, itu perkara lain,” katanya selepas merasmikan Program Madani Kita di Kampung Sungai Tiram, Lumut.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin menjelaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mempunyai kuasa untuk menentukan atau mempertimbangkan permohonan pengampunan, sebaliknya hanya bertindak sebagai agensi pelaksana terhadap keputusan yang dibuat Lembaga Pengampunan.
Katanya, KDN bertanggungjawab melaksanakan sebarang keputusan berkaitan hukuman banduan, termasuk pengurangan hukuman, pembebasan atau pelaksanaan tahanan di rumah.
“Sama ada petisyen pengampunan itu dibincangkan, dipertimbangkan dan dibuat keputusan atau tidak, itu bukan dalam bidang tanggungjawab KDN.
“Tetapi kalau ada keputusan dibuat, tugas kami ialah melaksanakannya. Sama ada hukumannya dikurangkan, dibatalkan, dibebaskan atau diletakkan di rumah, kerja kami adalah melaksanakannya,” katanya.
Isu kesaksamaan pelaksanaan tahanan di rumah kembali menjadi perhatian selepas Presiden Amanah, Mohamad Sabu sebelum ini berpandangan kemudahan itu tidak sepatutnya menjadi keistimewaan golongan tertentu, sebaliknya perlu dipertimbangkan secara adil kepada semua banduan yang memenuhi syarat.
Perdebatan itu turut menyusul keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 November lalu yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan di rumah.
Najib dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman sehingga 23 Ogos 2028.
Perkembangan itu mencetuskan perbincangan mengenai prinsip kesaksamaan dalam pemberian kemudahan tahanan di rumah serta bidang kuasa pihak berkuasa dalam melaksanakan keputusan berkaitan pengampunan dan hukuman banduan.
Presiden Perancis tiba di Malaysia, perkukuh hubungan dua hala
Malaysia kekal kerusi Majlis ITU, raih 145 undi
KWSP raih RM83.32 bilion hasil pelaburan dalam sembilan bulan
Tipu selebriti urusan hartanah, lelaki dipenjara setahun dan dua sebatan
Anwar ke Shenzhen, bakal temui Xi Jinping semasa APEC
[VIDEO] Berita Pilihan Agenda Daily | 16 November 2026
[VIDEO] Jangan pandang rendah kemampuan anak muda: Mukhlis