Isu cip kecerdasan buatan (AI).
Tiga syarikat dari Malaysia disenaraikan dalam senarai hitam Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) susulan dakwaan mengeksport peralatan komputer kepada pihak yang tidak dibenarkan.
Tiga syarikat terbabit ialah MSFusion Sdn. Bhd., PT Megaspeed International dan Speedmatrix Sdn. Bhd.
Tindakan itu turut melibatkan tiga syarikat dari Singapura iaitu Megaspeed International Pte. Ltd. yang turut dikenali sebagai 7Road International, Apex Enterprise Solutions (Singapore) Pte. Ltd. dan Swiftdata Pte. Ltd.
Sebuah lagi syarikat dari Thailand, Megaspeed (Thailand) Co. Ltd., turut dikenakan tindakan sama menjadikan keseluruhan tujuh entiti dimasukkan dalam senarai berkenaan.
Kesemua syarikat itu disenaraikan oleh Biro Industri dan Keselamatan (BIS) AS menerusi peraturan muktamad bertarikh 23 November yang dijadualkan diterbitkan dalam Daftar Persekutuan AS.
Menurut BIS, terdapat risiko ketara syarikat terbabit mengalihkan barangan pengkomputeran canggih kepada pengguna akhir atau untuk kegunaan yang tidak dibenarkan.
BIS turut menyatakan aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kepentingan keselamatan negara dan dasar luar AS.
Susulan keputusan itu, semua urus niaga membabitkan barangan yang tertakluk kepada Peraturan Pentadbiran Eksport (EAR) perlu mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa AS.
Permohonan lesen berkenaan pula akan dinilai berdasarkan anggapan untuk ditolak, sekali gus menyukarkan syarikat terbabit menjalankan urus niaga berkaitan teknologi yang dikawal eksport.
Speedmatrix dipercayai merupakan anak syarikat Megaspeed yang berpangkalan di Singapura, sebuah firma pengkomputeran awan yang turut mempunyai hubungan perniagaan dengan Nvidia.
Megaspeed sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan menyalurkan cip kecerdasan buatan (AI) yang tertakluk kepada sekatan eksport AS ke China.
Syarikat itu juga pernah dikaitkan dengan siasatan berhubung dakwaan pengintipan membabitkan Nvidia.
Sebelum ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan pihaknya tidak pernah meluluskan sebarang permohonan daripada Megaspeed atau Speedmatrix.
MITI turut memaklumkan Speedmatrix merupakan penyewa di sebuah pusat data di Malaysia.
Kementerian itu menjelaskan pengimportan cip AI ke Malaysia ketika ini tidak memerlukan permit atau lesen.
Bagaimanapun, sejak Julai tahun lalu, syarikat diwajibkan mendapatkan permit untuk mengeksport, mengeksport semula atau membawa masuk cip AI berprestasi tinggi buatan AS melalui Malaysia.
Perkembangan ini mencerminkan peningkatan kawalan Washington terhadap perdagangan teknologi canggih, khususnya cip AI yang mempunyai kepentingan strategik dalam industri semikonduktor dan keselamatan negara.
Isu premis tutup solat Jumaat, Anwar tidak setuju kenyataan Ahli Parlimen
GST belum sesuai dilaksana, kerajaan kekal SST: MOF
Tiada lesen judi baharu diluluskan: MOF
Turkiye belum sedia terima pelarian Rohingya
Jangan abaikan madrasah dalam mengejar kemajuan negara: Anwar
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan