Isu percukaian SST dan GST.
Kerajaan berpandangan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih belum sesuai buat masa ini berikutan tahap pendapatan rakyat yang belum tinggi serta cabaran kos sara hidup yang terus menjadi keutamaan.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, meskipun GST mempunyai kelebihan dari segi kecekapan kutipan hasil, ketelusan dan mekanisme kredit cukai input, kemampuan rakyat perlu menjadi pertimbangan utama sebelum sebarang perubahan sistem percukaian dilaksanakan.
Menurut kementerian itu, GST berpotensi memberi kesan lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah kerana mereka menggunakan sebahagian besar pendapatan untuk perbelanjaan harian berbanding golongan berpendapatan tinggi.
“GST cenderung bersifat regresif kerana golongan berpendapatan rendah membelanjakan bahagian yang lebih besar daripada pendapatan mereka untuk penggunaan.
“Justeru, kerajaan berpandangan pelaksanaan GST pada masa ini kurang sesuai,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Kementerian itu menjawab soalan Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai pendirian terkini kerajaan berhubung cadangan menggabungkan elemen GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam sistem percukaian negara.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan memastikan rakyat dan peniaga tidak terkesan dengan perubahan dasar percukaian yang tidak mempunyai hala tuju jelas.
Mengulas sistem percukaian sedia ada, MoF menjelaskan mekanisme SST berbeza daripada GST kerana cukai tidak dipindahkan secara automatik kepada pengguna akhir.
Sebaliknya, peniaga mempunyai fleksibiliti untuk menentukan sama ada mahu menyerap sebahagian kos cukai atau memindahkannya kepada pengguna.
Menurut kementerian itu, sistem SST ketika ini turut mengambil kira beberapa ciri terbaik daripada GST, khususnya bagi mengurangkan kesan cukai berganda dalam rantaian perniagaan.
“Objektif penambahbaikan sistem SST adalah untuk mengurangkan kesan cukai berganda,” katanya.
Antara langkah yang sudah dilaksanakan termasuk penambahbaikan kemudahan layanan Cukai Jualan (CJ) dan Cukai Perkhidmatan (CP) bagi mengurangkan beban cukai terhadap sektor berkaitan.
MOF menegaskan kerajaan akan terus mengekalkan SST kerana sistem itu memberi ruang kepada kerajaan menetapkan skop percukaian secara lebih bersasar.
Malah, barangan dan perkhidmatan asas yang lazim digunakan majoriti rakyat secara umumnya tidak dikenakan cukai.
“Kerajaan akan terus melaksanakan penambahbaikan SST dari semasa ke semasa melalui penilaian bantuan teknikal daripada organisasi antarabangsa dan sesi libat urus dengan pemegang taruh serta pakar percukaian tempatan,” katanya.
Langkah itu bertujuan memastikan sistem percukaian negara terus ditambah baik tanpa memberi kesan berlebihan kepada rakyat, industri dan peniaga.
Isu premis tutup solat Jumaat, Anwar tidak setuju kenyataan Ahli Parlimen
Isu cip AI: Tiga syarikat Malaysia dikenakan sekatan AS
Turkiye belum sedia terima pelarian Rohingya
Jangan abaikan madrasah dalam mengejar kemajuan negara: Anwar
SPR daftar hampir 42,000 pengundi baharu pada Oktober
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan