Kes saman Dr Dzul-Najib: Permohonan ketepikan anak Apandi sebagai hakim ditolak

July 30, 2025 · Politik

Kes saman Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak akan kekal didengar dihadapan Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi.

Permohonan Dr. Dzulkefly untuk mengenepikan Arziah atas alasan bapanya yang juga bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali mempunyai hubungan dengan Najib ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dr Dzulkefly pada 7 Mac dan 7 April 2025 ketika itu mengemukakan alasan hubungan kekeluargaan yang mana Arziah adalah Mohamed Apandi yang dilantik Najib pada tahun 2016 yang dikhuatiri menimbulkan kebimbangan munasabah wujudnya unsur berat sebelah jika beliau mendengar perbicaraan kes.

Arziah bagaimanapun berpuas hati, Dr. Dzulkefly selaku plaintif gagal membuktikan kewujudan bahaya sebenar berat sebelah yang timbul daripada kenyataannya itu.

Katanya, fakta bahawa beliau adalah anak kepada Mohamed Apandi yang dilantik oleh Najib, walaupun diakui, tidak mewujudkan bahaya sebenar berat sebelah.

“Hubungan antara bapa saya dan defendan (Najib), bukannya antara saya dan mana-mana pihak. Tiada bukti wujudnya sebarang hubungan yang berterusan antara bapa saya dan defendan selain daripada satu penampilan ringkas di mahkamah sebagai saksi pada tahun 2019.

“Bapa saya tidak lagi memegang jawatan Peguam Negara sejak tahun 2018, iaitu tujuh tahun yang lalu. Sebarang kaitan dengan litigasi ini adalah lemah dan bersifat sejarah,” katanya.

Dr Dzulkefly memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi dengan mendakwa Najib telah memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya pada 24 Ogos 2020, mengenai isu kronisme berserta satu lampiran paparan artikel Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2019 dengan gambar wajah plaintif (ketika itu bekas Menteri).

Dakwanya, kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikat kerajaan atau swasta.

Plaintif mendakwa, Najib menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat untuk menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah serta mengaibkannya dan ia adalah bermotifkan politik yang secara nyata berniat untuk memfitnah serta menjejaskan reputasinya.

Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang Najib selaku defendan atau ejennya meneruskan penerbitan atau menyebarkan hantaran itu dalam sebarang cara.

Plaintif turut memohon perintah supaya defendan membuat permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di akaun Facebooknya dan dihebahkan di akhbar tempatan pilihannya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah, selain memohon ganti rugi am, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Najib dalam pernyataan pembelaannya mendakwa hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya tiada kaitan dengan Menteri Kesihatan itu.

Najib mendakwa terbitan itu merujuk kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH), oleh itu tiada sebarang fitnah telah dibuat terhadap plaintif (Dzulkefly).

Berita berkaitan
Najib tarik balik permohonan tahanan rumah
April 27, 2026· Politik
Hannah Yeoh: Tiada maklumat permohonan pengampunan baharu Najib
April 23, 2026· Politik
Kes saman Rosmah: Saksi dedah wang, barang kemas bertaburan dalam serbuan Pavilion
April 14, 2026· Politik
Rosmah nafi hilangkan barang kemas dari Lubnan
April 14, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Rundingan jadi kunci redakan isu BN-PH di Negeri Sembilan: Zahid
18 jam lalu · Politik
Zahid tolak langkah ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan: Loke
April 30, 2026 · Politik
Sayap pemuda DAP desak pecat Tok Mat, dakwa jejaskan kestabilan kerajaan
April 30, 2026 · Politik
Keputusan 14 ADUN dihormati, namun sokongan kepada kerajaan Negeri Sembilan diteruskan
April 30, 2026 · Politik
Krisis Negeri Sembilan isyarat jelas UMNO mahu bertanding solo PRU-16: Rafizi
April 29, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
February 13, 2026
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan
February 13, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok