KDN lulus 1,980 permohonan kewarganegaraan dari 2024 hingga kini: Laporan

August 4, 2025 · Isu semasa

Kerajaan telah meluluskan 1,980 permohonan kewarganegaraan bagi kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing bagi tempoh 2024 hingga tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kesemua permohonan itu diproses dan diluluskan di bawah Perkara 15 (2) Perlembagaan Persekutuan sementara menunggu tarikh bagi pindaan baharu berkuat kuasa yang membolehkan taraf kewarganegaraan diberikan secara automatik.

“Maknanya permohonan tahun 2024 hingga 2025, setakat saya bagi jawapan ini tak ada lagi yang kita tidak luluskan. Kecuali, purata permohonan baharu sekarang ini masuk lebih kurang 100 sebulan.

“Kemasukan ini kita belum proses mengikut pindaan baharu yang kita telah luluskan kerana 2024 hingga 2025 yang kita proses mengikut 15(2) jumlahnya adalah 1,980,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Chiew Choon Man (PH-Miri) mengenai garis panduan terkini bagi kanak-kanak warganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara berikutan kelulusan pindaan Perlembagaan pada awal tahun ini, dan sama ada mereka perlu memohon semula kewarganegaraan serta status kelulusan permohonan setakat ini.

Saifuddin Nasution berkata pindaan tersebut masih perlu melalui beberapa lagi proses sebelum dikuatkuasakan dan tarikh kuat kuasa pindaan tersebut perlu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Antaranya, beliau berkata Peraturan-Peraturan Warganegara 1964 yang mempunyai 57 fasal yang perlu diteliti dan diperhalusi.

“Kita perlu melakukan beberapa proses perolehan dan pindaan borang kerana permohonan ini nanti boleh dibuat secara dalam talian, dan sistem yang diguna pakai pejabat perwakilan Malaysia di luar negara masih menggunakan borang serta format lama,” katanya.

Beliau berkata kerajaan menjangkakan pindaan kemas kini kepada Peraturan-Peraturan Warganegara 1964 boleh diselesaikan sekitar September atau Oktober tahun ini.

“Kita lengkapkan pula dengan borang serta perolehan, dan kita jangka ia tidak boleh melewati hingga pertengahan atau hujung tahun depan, tertakluk setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – Bernama

Berita berkaitan
Shuhaily dipindah, kembali bertugas bersama PDRM? – Laporan
6 jam lalu· Isu semasa
Malaysia masih negara aman, jangan samakan dengan Colombia: Saifuddin Nasution
November 28, 2026· Isu semasa
367,537 kandungan scam, akaun palsu dan deepfake dipadam
November 27, 2026· Isu semasa
KDN buru individu berprofil tinggi dalam sindiket dadah TUDM
November 26, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Isu penutupan premis Jumaat: Polis rakam keterangan lima individu termasuk MP Kota Melaka
6 jam lalu · Isu semasa
Universiti diingatkan kawal hiburan ketika konvokesyen: Zambry
7 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan sedia saluran alternatif jika MySiren gagal berfungsi
7 jam lalu · Isu semasa
MCMC perkukuh tindakan terhadap jualan barangan terlarang dalam talian
7 jam lalu · Isu semasa
Isu seludup dadah TUDM: Anwar gesa jangan lindungi pengkhianat dalam pasukan keselamatan
8 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] 13 platform e-dagang sepakat banteras jualan barangan terlarang
7 jam lalu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
November 24, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok