Muhyiddin Yassin.
Bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, menafikan dengan tegas dakwaan beliau menyokong pemberian subsidi petrol RON95 kepada warga asing, menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah dan pembohongan.
Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian dan mencabar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk membuktikan sumber dakwaan tersebut.
“Saya sama sekali tidak pernah menyatakan perkara itu. Ini adalah satu fitnah yang sengaja disebarkan untuk memesongkan fakta,” katanya dalam satu rakaman video yang dikongsi di media sosial pada Selasa.
Muhyiddin menekankan bahawa dasar subsidi minyak di Malaysia sejak dahulu hanya diperuntukkan untuk rakyat tempatan, bukan warga asing. Beliau mempersoalkan kredibiliti sumber yang digunakan Anwar ketika membangkitkan isu tersebut di Parlimen.
“Perdana Menteri mendakwa beliau membaca kenyataan saya. Saya ingin tahu, di mana beliau membacanya? Buku apa? Video mana? Atau sidang media yang mana? Nyatanya, tiada bukti kukuh,” tegasnya.
Beliau mencabar Anwar untuk mengemukakan bukti sahih berkenaan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa jika tiada bukti, ia merupakan satu bentuk fitnah yang serius.
“Jika sumber itu palsu, bermakna ini adalah pembohongan yang disengajakan. Saya minta Perdana Menteri bertanggungjawab atas kenyataannya,” tambah Muhyiddin.
Kontroversi tercetus apabila Anwar semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, mendakwa terdapat pihak pembangkang, termasuk Muhyiddin, yang mempersoalkan tindakan kerajaan dalam penyasaran subsidi RON95, seolah-olah membela kepentingan warga asing.
Dakwaan itu dibuat sebagai respons kepada pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta penjelasan mengenai Ahli Parlimen yang didakwa menyokong kebajikan warga asing dalam isu rasionalisasi subsidi.
Muhyiddin kini menuntut penjelasan terbuka daripada Anwar, sambil menegaskan bahawa beliau sentiasa mempertahankan hak rakyat Malaysia dalam isu subsidi.
Isu ini dijangka mencetuskan perdebatan lebih lanjut di Parlimen, terutamanya berhubung ketelamatan dalam pengurusan subsidi dan tanggungjawab pemimpin dalam memberikan maklumat tepat kepada orang ramai.
PH Negeri Sembilan desak kemelut politik diselesaikan segera
PAS masih jadi rebutan, Idris persoal pihak yang mahu kerjasama
Bekas pegawai khas Najib, aktivis UMNO diperintah bayar RM433,000 kepada pendakwah
Saarani: Belum ada keperluan bubar DUN Perak
Pembubaran DUN bukan jaminan krisis Negeri Sembilan selesai: Laporan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan