Perdana Menteri Anwar Ibrahim merasmikan platform berasaskan model bahasa besar (LLM) ini semasa Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025.
Malaysia mencapai satu lagi mercu tanda dalam bidang teknologi dengan pelancaran model kecerdasan buatan (AI) pertama negara, ILMU (Intelek Luhur Malaysia Untukmu), yang dibangunkan sepenuhnya oleh pakar tempatan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim merasmikan platform berasaskan model bahasa besar (LLM) ini semasa Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025, menandakan kemajuan besar dalam kemampuan teknologi tempatan.
“ILMU bukan sekadar kemajuan teknologi, tetapi cerminan identiti, suara, dan aspirasi negara dalam era AI.
“Peluncuran ini juga menandakan bahawa Malaysia kini bukan lagi sekadar pengguna teknologi, sebaliknya sudah mampu membangunkan teknologi bertaraf dunia hasil kepakaran anak bangsa,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook.
Dibangunkan oleh YTL AI Labs bersama Universiti Malaya (UM), ILMU menawarkan keunikan dengan kefasihan dalam bahasa Melayu, ‘Manglish’, dan dialek tempatan seperti loghat Kelantan, sekaligus memudahkan interaksi digital lebih mesra pengguna.
Menurut kenyataan YTL AI Labs, ILMU dibina dengan penekanan khusus terhadap keselamatan data dan keperluan tempatan, menggunakan infrastruktur awan nasional YTL AI Cloud untuk menjamin prestasi setanding standard antarabangsa seperti GPT-4 dan Llama.
“ILMU menunjukkan prestasi terbaik dalam pemahaman bahasa Melayu berbanding model global lain, malah mampu menyaingi GPT-4o dalam tugasan kompleks,” jelas wakil YTL.
Buat permulaan, ILMUchat (bot perbualan AI) akan dibuka kepada umum mulai 16 September sempena Hari Malaysia, dengan pendaftaran melalui laman https://www.ilmu.ai/.
Menteri Ekonomi Gobind Singh Deo memuji ILMU sebagai bukti keupayaan Malaysia menggabungkan kemajuan teknologi dengan identiti kebangsaan.
“Ini bukan sekadar pencapaian teknikal, tetapi langkah memartabatkan bahasa dan budaya kita di pentas digital,” ujarnya.
Sementara itu, Yeoh Seok Hong dari YTL Power International menjelaskan ILMU mencerminkan komitmen syarikat terhadap inovasi berteraskan nilai tempatan.
“Dengan ILMU, kami ingin membekalkan rakyat Malaysia pengetahuan yang boleh dipercayai dan relevan dengan konteks tempatan,” katanya, sambil menekankan potensi platform itu untuk meningkatkan produktiviti seluruh negara.
Pelancaran ini dijangka membuka lembaran baharu dalam ekosistem digital Malaysia, sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap penyelesaian AI luar negara.
Kerajaan perkasa bantuan guaman syarie dengan peruntukan baharu RM1.5 juta: PMX
Portal rasmi KKM diserang penggodam
Isa Samad kekal dipenjara, mahkamah tolak permohonan semakan
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
‘Kesejahteraan Dinikmati’ jadi tema sambutan Hari Kebangsaan: Fahmi
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar