Individu menyamar sebagai pakar patologi dalam kes kematian pelajar sekolah, Zara Qairina Mahathir berjaya dikesan dan ditahan pihak berkuasa.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menahan seorang individu yang menyamar sebagai pakar patologi dan mendakwa terlibat dalam bedah siasat kes kematian pelajar sekolah, Zara Qairina Mahathir.
Isu tercetus apabila sebuah akaun TikTok bernama ‘Dato Prof Dr Tunku Iskandar’ membuat siaran langsung mendakwa terlibat dalam proses bedah siasat jenazah Zara Qairina.
Klip video tersebut tular di media sosial dan menimbulkan kemarahan orang ramai, terutamanya keluarga mangsa.
Kementerian Kesihatan kemudian mengesahkan bahawa individu tersebut bukanlah pakar patologi bertauliah, malah tidak mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
SKMM dalam satu operasi bersama polis berjaya mengesan suspek berhampiran Kota Damansara lewat malam semalam dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk rakaman keterangan.
“Peralatan komunikasi milik suspek turut dirampas untuk siasatan lanjut. Kami juga mengenal pasti dua individu lain yang terlibat dalam siaran langsung tersebut,” menurut kenyataan SKMM.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, polis turut menyiasat kes ini di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan yang melibatkan penyebaran berita palsu yang boleh menimbulkan ketegangan masyarakat.
MCMC menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu, terutamanya melibatkan isu sensitif seperti kematian atau tragedi, adalah satu kesalahan serius.
“Perbuatan ini bukan sahaja menyinggung perasaan keluarga mangsa, malah boleh mengelirukan orang ramai dan mengganggu proses siasatan pihak berkuasa,” tegasnya.
Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Kes ini mendapat perhatian meluas di media sosial, dengan ramai pengguna mengecam tindakan tidak bertanggungjawab suspek.
Keluarga Zara Qairina juga dilaporkan terkesan dengan penyebaran maklumat palsu ini.
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
Bil elektrik boleh turun hingga RM47 sebulan mulai Oktober: TNB
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum