Rafizi Ramli.
Nombor telefon yang digunakan untuk menghantar mesej ugutan kepada isteri Rafizi Ramli, didaftarkan atas nama seorang warga asing, menurut Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail.
Beliau berkata, pihak polis telah menjalankan analisis terperinci dan berjaya mengenal pasti butiran pendaftaran nombor telefon tersebut.
“Kita (polis) sudah mengenal pasti nombor telefon berkenaan didaftarkan atas nama warga asing dan kita sedang mengesan individu terbabit,” jelasnya semasa sidang media di Bukit Aman hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, polis masih memburu dua penunggang motosikal yang disyaki terlibat dalam serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi itu di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.
Mohd Khalid memberitahu, kedua-dua suspek memakai topi keledar, menyukarkan proses pengenalan.
Mengenai cecair yang disuntik ke dalam badan mangsa, pihak polis masih menunggu laporan kimia daripada hospital.
Pemantauan kesihatan mendapati kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan stabil dan tiada kecederaan fizikal yang serius.
Setakat ini, polis sudah merakam keterangan daripada 19 orang saksi, termasuk keluarga Rafizi, pemandu, pekerja, dan orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga telah diambil untuk membantu siasatan.
Kejadian yang berlaku pada jam 2 petang itu melibatkan seorang penyerang yang menyeret dan menyuntik anak lelaki berusia 12 tahun itu dengan jarum suntikan.
Krisis Negeri Sembilan: MB umum dua pegawai kanan digantung tugas
Hassan saran Anwar kekalkan Loke dalam Kabinet, tolak peletakan jawatan
DUN Melaka sah bubar esok, PRN bakal diadakan: Ab Rauf
Pembatalan lantikan Exco Negeri Sembilan sah, ada asas Perlembagaan: Peguam
Akaun TikTok Na’im disekat TikTok, bukan MCMC: Hakim Norliza
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum