Ketua UMNO Sepang, Noorazli Said.
Polis selesai menjalankan siasatan berhubung ucapan perwakilan UMNO Selangor, Noorazli Said, pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang didakwa menyentuh sensitiviti agama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, berkata kertas siasatan berhubung kes itu akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) esok untuk arahan serta nasihat lanjut.
Menurutnya, polis menerima sebanyak 86 laporan berhubung isu berkenaan, manakala percakapan 93 individu sudah dirakam sepanjang siasatan dijalankan.
“Individu yang dirakam percakapan terdiri daripada orang awam, pihak penganjur dan perwakilan UMNO termasuk suspek (Noorazli).
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara esok untuk arahan dan nasihat selanjutnya,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 298 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan menyebut perkataan, membuat bunyi atau isyarat dengan niat melukakan perasaan agama seseorang.
Jika disabitkan, kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Kesalahan itu, jika disabitkan, boleh membawa denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Kumar turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan, selain tidak menggunakan kemudahan rangkaian untuk menyebarkan maklumat yang belum ditentukan kesahihannya.
“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal sebagai platform yang selamat, di samping dapat memupuk budaya komunikasi yang matang serta saling menghormati demi kesejahteraan sosial dan kestabilan negara,” katanya.
Kontroversi itu tercetus susulan ucapan Noorazli pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang menyentuh kisah berbentuk jenaka mengenai paderi dan biarawati ketika beliau membincangkan kepentingan kebijaksanaan politik.
Noorazli kemudian menjelaskan kisah itu digunakan sebagai analogi bagi menyampaikan pengajaran mengenai kepentingan fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.
Beliau turut menjelaskan tidak mempunyai niat menghina atau memperlekeh mana-mana agama serta bersedia memohon maaf sekiranya penyampaiannya menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut Kristian.
Dengan penyerahan kertas siasatan kepada AGC, keputusan mengenai tindakan lanjut kini bergantung kepada arahan dan nasihat pihak pendakwaan.
G25 mahu rakyat tahu nasihat AG mengenai tahanan rumah Najib
Pengampunan Najib: Anwar dedah apa yang dibincangkan dengan Agong
Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai
Bersatu tunggu keputusan RoS berhubung aduan PN: Muhyiddin
Van polis ditempatkan di kediaman Najib mulai esok
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum