Presiden Parti Warisan, Mohd Shafie Apdal.
Setakat ini Parti Warisan masih tidak menerima tawaran untuk menyertai mana-mana gabungan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah.
Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua berkata persiapan sedang giat dijalankan parti untuk berdepan PRN secara solo susulan tiada gabungan yang dilihat selari dengan mereka.
Beliau turut menyangkal dakwaan mengenai kemungkinan Warisan akan menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau membuat rundingan di belakang tabir bagi membentuk gabungan.
“Kami akan bertanding secara bersendirian dengan menggunakan logo parti sendiri. Kami tidak bersama mana-mana gabungan politik.
“Khabar angin yang mendakwa Warisan akan menyertai GRS atau membuat rundingan di belakang tabir adalah tidak benar. Itu semua adalah pembohongan yang sengaja disebarkan di media sosial untuk mengelirukan rakyat.
“Pendirian kami jelas iaitu gabungan Warisan ialah bersama rakyat. Kami tidak akan terbabit dalam permainan politik yang sedang berlaku, perjuangan kami adalah demi hak dan masa depan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Loretto berkata, cerita mengenai rundingan belakang tabir sengaja dicipta untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar seperti kenaikan kos sara hidup, masalah bekalan air dan elektrik, peluang pekerjaan serta hak kawalan yang adil terhadap sumber negeri.
Katanya, beliau juga kesal apabila institusi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah turut dikaitkan dalam khabar angin politik negeri itu.
“TYT adalah institusi yang bebas daripada politik dan mesti dihormati. Jangan sesekali menjadikan TYT sebagai alat untuk meraih keuntungan politik.
“Saya menyeru rakyat Sabah agar kekal fokus dan tidak mudah terpedaya,” katanya.
Loretto berkata, pilihan raya kali ini adalah mengenai memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang untuk Sabah dan bukan hanya pandai bermain politik.
Beliau menekankan bahawa Warisan sejak awal lagi konsisten dengan kedudukan sebagai satu-satunya parti pembangkang di Sabah.
“Gabungan bukan jawapannya kerana masa depan negeri ini memerlukan satu gerakan yang tegas dan berteraskan rakyat.
Kami akan terus bersama rakyat dan bukan bersama elit politik,” katanya.
Selain Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang diasaskan bekas Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony turut menegaskan pendirian bertanding secara solo pada PRN17 nanti.
Setakat ini, hanya Barisan Nasional (BN) yang sudah mengumumkan pembentukan kerjasama bagi menghadapi PRN-17 iaitu bersama Pakatan Harapan (PH).
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
Amanah kritik cadangan PAS tangani krisis ekonomi tak realistik
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan