Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang tindakan memecah-belahkan negara berdasarkan kaum, kabilah dan wilayah perlu dihalang dengan tegas dan keras.
Dalam Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2025 hari ini, Anwar menekankan tidak ada negara yang dapat bertahan jika menerima hasutan kebencian antara kaum.
Beliau berkata Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama lebih penting daripada sentimen kampung dan daerah.
“Kita tidak boleh mengenepikan kepentingan kaum masing-masing. Apa pun yang saya bicarakan, saya tetap Melayu, saya bangga dengan bahasa Melayu dan kehebatan budaya Melayu yang agung.
“Tetapi tidak wajar kebanggaan ini meremehkan, memadamkan atau menghina kaum lain,” katanya.
Anwar menambah ini bukan permainan ‘zero sum’ yang memaksa rakyat memilih antara memperkukuh identiti kaum sendiri sambil meminggirkan kaum lain dan menekankan pentingnya menghormati semua budaya dan tamadun yang membentuk negara ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Dalam ucapannya, Anwar juga menegaskan tekad kerajaannya untuk memerdekakan negara daripada penyelewengan dan rasuah.
Beliau berkata kerajaan Madani berjaya memecahkan kartel puluhan tahun yang membabitkan barangan keperluan rakyat.
“Mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki, usaha kerajaan memerangi segala bentuk kecurangan terhadap negara tidak pernah padam. Isu membabitkan rakyat termasuk pendidikan, kesihatan dan harga barang sentiasa dibincangkan dalam setiap mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.
Anwar dengan tegas menyatakan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kartel atau kumpulan yang menggunakan cara haram untuk merosakkan negara.
Beliau memberikan contoh kejayaan kerajaan memecahkan kartel ayam yang telah wujud selama puluhan tahun hasil kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan.
“Semangat kemerdekaan ini bermakna tekad kita untuk merdeka dan melepaskan negara daripada segala bentuk kecurangan, rasuah dan kegiatan haram,” tegas Anwar.
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
PKR Negeri Sembilan pertahan keputusan Tuanku Muhriz, persoal tindakan Exco
PRN Melaka: PH sedia jalan sendiri jika BN tak berminat kerjasama
Sheikh Umar: Sepatutnya Zahid patut letak jawatan, bukan Loke
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum