Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberitahu tiga syarikat perkhidmatan pesanan internet dan media sosial utama telah berjaya didaftarkan di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) setakat 31 Ogos lalu.
Ketiga-tiga platform tersebut ialah WeChat International Private Limited, TikTok Private Limited, dan Telegram Messenger Incorporated.
Dalam pada itu, Fahmi juga memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) masih sedang menjalankan perbincangan aktif dengan syarikat induk Meta yang mengendalikan Facebook, Instagram, dan WhatsApp serta Google, pemilik YouTube.
Tujuannya adalah untuk menyelesaikan isu-isu pelaksanaan dan penguatkuasaan kerangka pelesenan secara menyeluruh, selaras dengan matlamat kerajaan mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab untuk semua pengguna.
Mengenai platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter), beliau menjelaskan tidak perlu mendaftar pelesenan memandangkan jumlah pengguna tidak mencapai 8 juta.
“Platform X telah memaklumkan bahawa jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang sebanyak 8 juta seperti yang diperlukan untuk pelesenan.
“Namun, MCMC sedang menjalankan kajian yang lebih menyeluruh untuk menentukan jumlah sebenar pengguna dan akan menilai semula keperluan untuk platform tersebut didaftarkan di bawah lesen ASP(C),” kata Fahmi dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Beliau menekankan MCMC sentiasa mengekalkan komunikasi yang terbuka dan konstruktif dengan semua penyedia perkhidmatan yang belum memperoleh lesen tersebut di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Proses ini memerlukan masa kerana ia melibatkan penyelesaian pelbagai isu teknikal, operasi, dan pematuhan undang-undang yang kompleks, yang memerlukan penelitian yang teliti dan terperinci,” jelas Fahmi.
Langkah pelesenan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan untuk memastikan platform digital beroperasi dengan mematuhi peraturan tempatan, sekaligus melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna Malaysia.
Anwar umum kenaikkan Geran Interim kepada Sabah RM1.5 Bilion
Amanah Selangor bidas Liu berhubung isu ladang babi
Anwar tegas mahu Sabah, Sarawak terus maju
Anwar mahu kementerian berjimat hadapi tekanan ekonomi global
SPRM teliti dakwaan penyelewengan projek naik taraf Stadium Bukit Jalil
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi