Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil meninjau lokasi di landa ribu di PPR Seri Cempaka.
Ribut yang melanda ibu negara petang ini mengakibatkan kerosakan teruk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Lembah Pantai apabila bumbung sebuah blok rumah diterbangkan angin.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turun meninjau keadaan ribut yang menjejaskan beberapa unit kediaman serta merosakkan sehingga 30 kenderaan yang diparkir dan mengumumkan bantuan segera akan disalurkan kepada mangsa yang terjejas.
“Penduduk di empat unit rumah berkenaan akan dipindahkan serta-merta ke unit kosong dalam blok sama dengan bantuan pertubuhan belia.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengenal pasti unit-unit yang sesuai,” jelas Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi.
Fahmi memberitahu sumbangan awal sebanyak RM5,000 akan disalurkan kepada mangsa terjejas selepas kejadian ribut itu mengakibatkan sekurang-kurangnya empat unit rumah mengalami kerosakan serius, manakala unit-unit lain mengalami kebocoran.
“Sumbangan awal RM5,000 untuk setiap keluarga akan disalurkan, termasuklah keperluan asas seperti tilam, bantal dan selimut.
“Kami juga memastikan semua keperluan sekolah yang rosak diganti dengan segera,” ujarnya lagi.
Bagi memastikan keselamatan penghuni, Fahmi memaklumkan DBKL telah diarahkan untuk bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menilai semula keselamatan struktur Blok E dan Blok F.
“Kawasan berhampiran Blok E yang berisiko akan dipasang pita keselamatan dan dikosongkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujarnya.
“Saya difahamkan seorang individu cedera akibat terkena kaca berterbangan di Blok F, namun laporan penuh masih belum diperoleh,” tambahnya lagi.
Beliau turut menasihati semua penduduk yang terjejas agar membuat laporan polis bagi memudahkan urusan tuntutan.
Fahmi turut memberitahu menurut aduan penduduk, insiden serupa pernah berlaku kira-kira 15 tahun lepas.
“Pihak kami akan memastikan aspek reka bentuk serta binaan diteliti semula untuk mengelakkan kejadian ini daripada berulang,” ujarnya lagi.
Selain di PPR Seri Cempaka, ribut petang itu juga dilaporkan menyebabkan beberapa insiden lain di kawasan berhampiran, termasuk kebakaran kecil di Dewan Gasing Indah serta pokok tumbang di Jalan Pantai Murni dan Taman Lucky Garden.
Penjimatan kerajaan fokus belanja tidak kritikal, tak termasuk kesihatan dan pendidikan: MOF
Misi Flotilla Gaza 2.0: 10 warga Malaysia disahkan terputus hubungan
Wanita didakwa sebar berita palsu harga minyak: MCMC
Pemuda UMNO desak hentikan pesta air di Bkt Bintang, bidas Kementerian Pelancongan
Keputusan kes gangguan seksual Ebit Lew dijangka hari ini
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan