Setiausaha Agung Parti Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
PAS didakwa masih gagal untuk menamakan calon Perdana Menteri mereka, walaupun selepas seminggu Muktamar ke-71 parti itu berlangsung.
Situasi ini menimbulkan persoalan mengenai perpaduan dan kesediaan parti tersebut dalam memikul tampuk pemerintahan negara.
Menurut Setiausaha Agung Parti Amanah, Muhammad Faiz Fadzil, kegagalan tersebut mendedahkan satu perpecahan yang ketara dalam kalangan Perikatan Nasional (PN).
“Perpecahan ini membuktikan PN tidak mampu menjamin kestabilan politik. Pengalaman pahit episod Langkah Sheraton tidak wajar berulang; negara memerlukan kerajaan yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Faiz turut membangkitkan kejayaan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim yang mendapat sokongan penuh wakil rakyat sebagai bukti kestabilan.
“Sokongan penuh kepada Perdana Menteri Anwar telah membuahkan hasil ekonomi yang memberangsangkan,” katanya.
Antara kejayaan yang disenaraikan termasuklah pengukuhan nilai ringgit, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh, pelaburan yang diluluskan melonjak sehingga RM190.3 bilion, inflasi yang rendah dan kadar pengangguran yang menurun.
“Ini semua adalah buah daripada kestabilan politik yang dinikmati negara,” tambahnya.
Faiz turut menyindir dakwaan pemimpin PAS yang kononnya mempunyai ramai calon yang layak.
“PAS mendakwa ada tiga hingga empat ‘lori’ calon, namun sehingga kini, tiada seorang pun yang dinamakan. Kenyataan ini seolah-olah memperlekehkan institusi Perdana Menteri,” ujarnya.
Beliau berkata, sikap PAS dalam isu ini bukanlah sesuatu yang baharu.
“Ia hanya menyerlahkan sikap PAS yang berlagak sombong, tetapi hakikatnya ‘tin kosong’. Mereka pernah memperjuangkan RUU 355, tetapi membisu ketika memegang kuasa,” katanya.
Faiz menekankan betapa pentingnya institusi Perdana Menteri seperti yang termaktub dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Tanpa Perdana Menteri, kerajaan tidak boleh dibentuk. Sikap PAS ini mencerminkan mereka tidak bertanggungjawab terhadap urusan pentadbiran negara, sedangkan pentadbiran yang baik adalah tunjang negara dan aspek penting dalam Islam,” jelasnya.
Beliau berpendapat, kegagalan PAS untuk mencapai kata sepakat mencerminkan ketidakmatangan parti tersebut dalam hal ehwal pemerintahan negara.
Krisis Negeri Sembilan isyarat jelas UMNO mahu bertanding solo PRU-16: Rafizi
Spekulasi ADUN UMNO kembali jadi Exco disangkal Jalaluddin
Amirudin enggan layan desakan pecat Exco UMNO di Selangor
Kamil nafi beri layanan seperti ‘lembu’ didakwa Akmal
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan