Kes Polis.
Polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung sebuah kenderaan pacuan empat roda didakwa menampal pelekat tulisan Hebrew di belakang kenderaan itu yang membawa maksud ‘Malaysia adalah Rumah Kita’ atau ‘Malaysia di Tangan Kami’.
Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar berkata siasatan dijalankan susulan satu laporan polis yang dibuat pegawai khas agama kepada Ketua Menteri Melaka pada 3.32 petang semalam, selepas melihat sebuah video berkaitan tindakan itu di media sosial ‘Thread’.
Beliau berkata video berdurasi 14 saat yang tular semalam di media sosial mengundang pelbagai reaksi termasuk kebimbangan dan kemarahan orang ramai terhadap maksud pelekat berkenaan.
“Berdasarkan semakan dijalankan, kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu itu didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 504(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan telus demi memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat sentiasa terjamin.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penyebaran video tersebut. – Bernama
Tiga pegawai TUDM didakwa di mahkamah edar 96.2kg syabu
Saman MCMC RM600 juta terhadap Google sudah diserahkan: Nie Ching
Bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail meninggal dunia
367,537 kandungan scam, akaun palsu dan deepfake dipadam
SPRM nafi pilih kasih, siasatan projek jalan KKDW masih berjalan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib