Oh Tong Keong kalah saman kepada Lim Guan Eng.
Sebanyak RM500,000 berjaya dikumpul Parti Gerakan untuk membayar pampasan kepada penasihat DAP, Lim Guan Eng.
Sumbangan itu dikutip daripada sumbangan ahli dan orang ramai yang bersimpati kepada Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong susulan susulan kekalahannya dalam kes saman fitnah dengan Guan Eng.
“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli Gerakan dan orang awam atas sokongan serta kepercayaan yang berterusan.
“Sejak pelancaran kempen kutipan dana kami, sebanyak RM200,000 telah berjaya dikumpulkan.
“Selain itu, beberapa individu yang murah hati telah tampil untuk mendahulukan sebanyak RM300,000, membolehkan kami mengumpulkan sepenuhnya jumlah dana pampasan sebanyak RM500,000 bagi menyokong rayuan saudara Oh Tong Keong,” kata kenyataan yang disiarkan di Facebook Gerakan Pulau Pinang, hari ini.
Pada 25 Mei lalu, media melaporkan Tong Keong memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM550,000 kepada Lim yang juga bekas menteri kewangan.
Peguam Tong Keong, Chai Ko Thing memaklumkan rayuan itu difailkan pada 21 Mei lalu.
“Permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan juga telah difailkan pada 22 Mei sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya.
Pada 7 Mei, Mahkamah Tinggi Georgetown memutuskan memihak kepada Guan Eng setelah mendapati Tong Keong memfitnah bekas menteri kewangan itu dengan tuduhan palsu bahawa dia membantu seorang penganjur konsert mendapatkan pengecualian cukai.
Hakim Kenneth St James memerintahkan Tong Keong membayar RM400,000 sebagai ganti rugi am, RM100,000 sebagai kos guaman, serta faedah lima peratus setahun dari tarikh writ difailkan.
Kes itu merujuk kepada sidang media Tong Keong yang diadakan pada 25 September 2019, apabila dia mempersoalkan jika Guan Eng telah membantu syarikat WGW Entertainment Sdn Bhd dan pemiliknya, Hendrik Huang, memperoleh pengecualian cukai bagi konsert Mandopop “Fantastic Duo” yang dijadualkan berlangsung di Spice Arena, Bayan Lepas tetapi kemudiannya dibatalkan.
Sementara itu, Gerakan memaklumkan yang mahkamah telah membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara (ad-interim stay of execution) seperti mana dipohon oleh Tong Keong.
“Ini bermaksud bahawa saudara Tong Keong tidak perlu membuat permohonan maaf secara terbuka pada peringkat ini.
“Walaupun sebahagian daripada jumlah tersebut telah didahulukan, usaha kutipan dana akan diteruskan bagi membolehkan bayaran balik dibuat secara bertanggungjawab kepada pihak yang telah mendahulukan dana tersebut,” kata kenyataan itu lagi.
Rafizi dipanggil ke SPRM pada Isnin beri keterangan
Kenyataan tiga sayap hanya pandangan, pendirian parti kekal sokong kerajaan NS: Zahid
UMNO berpendirian sebarang program hiburan perlu ada batas: Zahid
Konsert Air di Melaka tanpa DJ, Akmal gesa program di Bukit Bintang dihentikan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan