Dr Dzulkefly Ahmad.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad, menegaskan kenaikan kadar fi perundingan pengamal perubatan am kepada antara RM10 dan RM80 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 tidak akan membebankan rakyat.
Dr. Dzulkefly berkata sebaliknya, langkah ini dilihat sebagai galakan kepada doktor untuk memberikan khidmat yang lebih efisien dan bertanggungjawab dan menjelaskan kerajaan masih mempertahankan harga lantai pada RM1 bagi mengelakkan bebanan kepada orang ramai, dengan hanya menaikkan harga siling daripada RM35 kepada RM80.
“Pengekalan harga lantai RM10 merupakan kelegaan besar kepada pesakit yang datang mendapatkan nasihat konsultasi melibatkan kes yang berbeza-beza,” katanya semasa sidang media di Institut Kanser Negara (IKN) hari ini.
Dr. Dzulkefly menjelaskan tempoh dan kerumitan rawatan akan menentukan kadar bayaran.
“Kalau pengamal perubatan meluangkan masa 10 minit atau 40 minit, sudah tentu kadar bayaran yang dikenakan adalah berlainan.
“Jika sekadar mendapatkan nasihat untuk batuk dan selsema, cajnya berbeza dengan mereka yang datang untuk penyakit seperti kencing manis yang memerlukan ujian air kencing,” ujarnya lagi.
Mengulas kebimbangan orang ramai, beliau mengakui sebarang perubahan polisi mempunyai kesan ‘double edge’ atau dua mata.
Namun, beliau yakin kenaikan ini akan memberi ruang kepada doktor untuk meluangkan lebih masa dengan pesakit.
“Doktor perubatan am adalah tulang belakang kepada penjagaan kesihatan. Peningkatan kadar fi ini membuka ruang dan galakan kepada mereka untuk meluangkan lebih masa untuk mengetahui kondisi pesakit,” katanya.
Beliau juga percaya rakyat akan memahami nilai perkhidmatan yang diberikan.
“Rakyat tidak akan marah dan tidak kisah membayar lebih jika khidmat yang ditawarkan itu berpadanan dengan wang yang dikeluarkan,” tegasnya.
Kenaikan ini, yang merupakan yang pertama dalam tempoh 19 tahun, diharap dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan primer tanpa menjejaskan aksesibiliti rakyat kepada rawatan asas.
RM33.4 juta bunga ganja dirampas, 12 ditahan: Polis Selangor
Remaja kes tikam sekolah Bandar Utama mahu kematian beramai-ramai, mahkamah diberitahu
Kes 43 barang kemas: Global Royalty boleh tuntut RM67.5 juta daripada Rosmah
Anwar luah terkilan, krisis adat Negeri Sembilan masih berlarutan: Laporan
Dua pengarah Mandiri ditahan bantu siasatan AMLA
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum