Tiada sebarang kelonggaran atau kompromi akan diberikan terhadap piawaian pensijilan halal negara yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Kerajaan menegaskan tiada sebarang kelonggaran atau kompromi akan diberikan terhadap piawaian pensijilan halal negara yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), meskipun dengan pemeteraian perjanjian perdagangan antarabangsa.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong menjawab kebimbangan mengenai implikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat terhadap integriti produk halal di Malaysia.
Beliau menekankan proses kelulusan untuk mengimport produk halal dari Amerika Syarikat kekal mengikut prosedur sedia ada yang mematuhi Akta Perihal Dagangan 2011 dan standard JAKIM.
“Kerajaan menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap piawaian halal yang ditetapkan oleh JAKIM,” ujar Liew Chin Tong di sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, hanya produk yang mendapat pengesahan halal daripada badan pensijilan di Amerika Syarikat yang diiktiraf JAKIM, dan yang memenuhi semua keperluan standard Malaysia, sahaja yang akan dibenarkan untuk dieksport ke pasaran negara ini.
“Pengiktirafan JAKIM ke atas mana-mana badan pensijilan halal di AS adalah berdasarkan proses audit dan pengesahan yang ketat,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama JAKIM dan agensi berkaitan akan terus memperketatkan prosedur pengiktirafan serta memantau pengusaha import yang mendakwa mempunyai sijil halal.
Tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memasarkan produk tidak halal di Malaysia.
“Kerajaan juga akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang cuba mensasarkan pasaran Malaysia dengan produk yang tidak mematuhi piawaian halal JAKIM,” tegas Liew.
Beliau memberi jaminan kerajaan akan memastikan sebarang perjanjian perdagangan tidak sekali-kali bercanggah dengan prinsip syariah dan piawaian halal Malaysia yang telah ditetapkan.
PMX umum peruntukan pembangunan untuk Kelantan naik RM8 bilion
Cadangan kekalkan kuota BUDI95 kepada pengamal media akan dibincang: Fahmi
Petronas boleh runding dapatkan bekalan minyak dari Rusia: Anwar
Hanya 15 peratus rakyat beli diesel pada harga pasaran: PMX
Nahas helikopter Kalimantan Barat: Rakyat Malaysia terkorban dikenal pasti
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan