Pelaksanaan Budi Madani Diesel (BUDI Diesel).
Dasar penyasaran semula subsidi diesel yang dilaksanakan pada Jun 2024 menunjukkan kejayaan ketara dengan penurunan mendadak dalam jualan diesel bersubsidi, sekaligus membuktikan ketirisan subsidi semakin terkawal.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, mendedahkan purata jualan bulanan diesel bersubsidi telah menurun daripada kira-kira 770 juta liter sebulan (Januari-Mei 2024) kepada kira-kira 465 juta liter sebulan (Jun-Disember 2024).
“Perbandingan antara kedua-dua tempoh ini menunjukkan pengurangan ketara dalam jualan diesel bersubsidi, sekali gus menandakan penurunan kadar ketirisan subsidi diesel.
“Ini bermakna sebelum ini terdapat kegiatan pembelian diesel bersubsidi daripada stesen minyak yang mungkin digunakan untuk kegunaan komersial,” jelas Hui Ying semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, penjimatan yang dicapai adalah signifikan.
“Sejak pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, kerajaan berjaya menjimatkan lebih RM400 juta sebulan, bersamaan sekitar RM5 bilion setahun,” tambahnya lagi.
Penjimatan ini, katanya, disalurkan semula untuk projek pembangunan dan program bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi meringankan beban rakyat.
Hui Ying turut memberitahu manfaat langsung yang disalurkan kepada golongan sasaran.
“Sehingga 31 Okt lepas, seramai 320,000 pemilik kenderaan persendirian diesel, petani, penternak dan pekebun kecil telah mendapat manfaat dengan jumlah bayaran sebanyak RM850 juta,” tambahnya.
Bagi sektor pengangkutan barangan, lebih 121,000 syarikat telah diluluskan di bawah program Budi MADANI Diesel.
“Langkah ini dapat memastikan kos operasi sektor logistik tidak meningkat secara mendadak dan barangan keperluan kekal pada harga berpatutan,” ujarnya.
Berhubung nelayan, kira-kira 18,000 nelayan berdaftar layak menerima subsidi bersasar BUDI95, yang juga melibatkan bot persendirian yang berdaftar dengan pihak berkuasa negeri.
Kejayaan ini menunjukkan langkah kerajaan bukan sahaja berkesan mengurangkan ketirisan, malah memastikan bantuan terus sampai kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.
Isu premis tutup solat Jumaat, Anwar tidak setuju kenyataan Ahli Parlimen
GST belum sesuai dilaksana, kerajaan kekal SST: MOF
Tiada lesen judi baharu diluluskan: MOF
Isu cip AI: Tiga syarikat Malaysia dikenakan sekatan AS
Turkiye belum sedia terima pelarian Rohingya
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan