Muhyiddin Yassin.
Perikatan Nasional (PN) akan menjalankan kajian semula menyeluruh bagi menambah baik persiapan, keberkesanan jentera pilihan raya, dan pengukuhan akar umbi parti berikutan prestasinya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berakhir semalam.
Langkah ini diambil susulan keputusan yang menyaksikan gabungan itu hanya meraih satu kemenangan daripada 42 kerusi yang dipertandingkan.
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata pihaknya menghormati keputusan pilihan raya dan menerima mandat rakyat dengan penuh tanggungjawab, selain menegaskan PN akan terus memainkan peranan penting dalam politik negeri.
“PN akan terus memperkukuh peranan dalam politik negeri dengan memainkan peranan sebagai pengimbang berprinsip, memastikan semak dan imbang, memperjuangkan integriti pentadbiran, dan membela rakyat,” jelas Muhyiddin.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada salah seorang calonnya, Aliakbar Gulasan, atas kemenangan di Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai.
Kemenangan tersebut dianggap sebagai satu dorongan untuk parti itu bekerja dengan lebih gigih pada masa hadapan.
“PN akan melaksanakan kajian serta post mortem menyeluruh untuk menambah baik persiapan, keberkesanan jentera, dan pengukuhan akar umbi,” tegasnya lagi.
Bagaimanapun, pilihan raya kali ini turut menyaksikan kekalahan mengecewakan, antara kekalahan besar ialah Pengerusi PN Sabah, Ronald Kiandee, yang juga Naib Presiden Bersatu, tewas di kerusi DUN Sugut kepada calon dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), James Ratib.
Prestasi ini dijangka menjadi fokus utama dalam proses penilaian semula parti bagi menghadapi cabaran politik yang akan datang.
BN letak calon di DUN Sg Udang bukti tolak Wawasan: Puad
AMK: Rafizi perlu jawab dakwaan, bukan sekadar saman Ramanan
Kes Jalur Gemilang: Representasi Akmal ditolak, mahu kemuka permohonan kedua
PRN Melaka: Adam Adli yakin calon baharu PKR mampu buat kejutan
Aziz Bari: PAS parti politik, bukan agama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum