Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada lima hakim di Istana Negara, di Kuala Lumpur.
Istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil Istana Negara itu dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan kepada Hakim Besar Malaya Datuk Hashim Hamzah.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada empat Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Datuk Azimah Omar dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Antara yang hadir menyaksikan istiadat berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Hashim yang sebelum ini Hakim Mahkamah Rayuan, dilantik bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Sri Hasnah Hashim yang bersara wajib pada 14 Nov lepas.
Che Mohd Ruzima, Mohd Nazlan, Azimah dan Sequerah masing-masing turut berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
Turut hadir Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Selesai istiadat pengurniaan, Seri Paduka Baginda berkenan bergambar bersama-sama para hakim yang baru dilantik. – Bernama
Anwar: Rasuah sudah jadi masalah sistemik, tindakan tegas perlu diteruskan
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib