Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, mempersoalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib Razak berhubung titah adendum, sambil memberi amaran bahawa keputusan itu boleh memberi kesan besar terhadap kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.
Dalam satu kenyataan di media sosial, Hassan berkata keputusan mahkamah tersebut seolah-olah menolak kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong, sedangkan titah adendum itu hanya bertujuan meringankan hukuman Najib dengan membenarkan baki hukuman dijalani di bawah tahanan rumah.
“Tanpa niat untuk mengkritik atau menghina keputusan mahkamah, saya berpandangan keputusan ini jelas menolak kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Menurut Hassan, titah tersebut tidak membebaskan Najib daripada sabitan kes SRC International, sebaliknya hanya menyentuh bentuk pelaksanaan hukuman.
“Ini mencemar dan merendahkan saki baki kuasa Raja-Raja Melayu yang masih diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.
Beliau menegaskan walaupun keluhuran Perlembagaan perlu dijunjung, pentafsiran perlembagaan tidak seharusnya terlalu kaku sehingga meminggirkan peranan institusi Raja-Raja Melayu.
Hassan turut membangkitkan perbandingan dengan pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar Ibrahim pada 2018.
“Rakyat bertanya, mengapa Yang di-Pertuan Agong boleh mengampunkan Anwar sepenuhnya ketika baki hukuman masih ada, tetapi pendekatan sama tidak boleh digunakan dalam kes Najib?” soalnya.
Hassan yang juga seorang peguam berkata keputusan Hakim Alice Loke Yee Ching wajar dirujuk ke Mahkamah Rayuan bagi mengelakkan sebarang kekhilafan menjadi rujukan undang-undang yang boleh melemahkan kuasa prerogatif Raja-Raja Melayu.
Beliau mengingatkan sebelum Perlembagaan Persekutuan diwujudkan, institusi Raja-Raja Melayu telah lama menjadi asas pemerintahan di Semenanjung dan kemudian menerima aspirasi rakyat untuk sistem demokrasi berparlimen.
Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib selepas mendapati titah adendum itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.
Susulan keputusan itu, Najib perlu meneruskan baki hukuman penjara di Penjara Kajang, di mana beliau dipenjarakan sejak Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
Isu PRN Melaka: MP DAP dan Akmal bertikam lidah
Amanah kritik cadangan PAS tangani krisis ekonomi tak realistik
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan