Najib Razak.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual membuat keputusan esok berhubung nasib bekas perdana menteri, Najib Razak, sama ada beliau dibebaskan atau disabitkan kesalahan dalam empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Keputusan itu akan dibacakan Hakim Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman pada jam 9 pagi.
Kes berprofil tinggi ini merupakan kes jenayah terakhir yang masih di peringkat perbicaraan melibatkan Najib, yang juga bekas Presiden UMNO.
Jika mahkamah menerima hujah pembelaan dan mendapati terdapat keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, Najib akan dibebaskan serta-merta.
Namun jika sebaliknya, mahkamah akan menjatuhkan hukuman ke atas bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Bagi pertuduhan rasuah, Najib didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan bagi setiap kesalahan.
Untuk pertuduhan pengubahan wang haram pula, undang-undang membenarkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM5 juta, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah juga akan menentukan sama ada hukuman penjara, jika dikenakan, berjalan serentak atau berasingan bagi semua 25 pertuduhan.
Walau apa pun keputusan esok, kedua-dua pihak masih mempunyai hak untuk merayu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Perbicaraan kes ini berlangsung selama 303 hari, termasuk 235 hari bagi kes pendakwaan dan 58 hari bagi pembelaan. Seramai 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan dipanggil, dengan Najib sendiri tampil memberi keterangan.
Antara saksi penting pendakwaan ialah bekas pengerusi dan pegawai kanan 1MDB serta bekas Gabenor Bank Negara.
Kes ini dikendalikan pasukan pendakwaan selepas pemergian ketua pendakwa asal pada 2023, manakala pembelaan diketuai Muhammad Shafee Abdullah.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan bagi kes SRC International, dan keputusan esok dijangka menjadi detik penting dalam sejarah kehakiman negara.
Keputusan rayuan Guan Eng, isteri dan ahli perniagaan diketahui hari ini
Tiada arahan sekat Onn Hafiz masuk ke FELDA: Zahid
Kerajaan pusat dan negeri sepakat tangani cabaran ekonomi: Anwar
Maszlee sedia berdebat, adakah Onn Hafiz akan sahut?
Bersatu persoal keabsahan Mesyuarat Tertinggi PN, langgar kehendak RoS
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar