Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah.
Pasukan pembelaan Najib Razak akan memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Isnin ini, kata peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah.
Menurut Shafee, pihaknya bersedia untuk membawa hujahan di peringkat rayuan dan yakin terdapat pelbagai kesilapan serius yang wajar dinilai semula oleh mahkamah lebih tinggi.
“Walaupun saya sedih dengan apa yang berlaku kepada klien saya, dalam masa sama saya melihat ada ruang untuk kami,” katanya dipetik laporan media.
“Lebih banyak kesilapan yang dilakukan oleh seorang hakim, lebih besar peluang dalam rayuan,” tambahnya lagi.
Antara isu utama yang akan dibangkitkan ialah penerimaan keterangan dengar cakap sepanjang perbicaraan, yang menurutnya menjejaskan keadilan prosiding.
Shafee turut menyifatkan perbicaraan itu sebagai pengalaman luar biasa dalam kerjayanya kerana pasukan pembelaan tewas dalam setiap hujahan yang dikemukakan.
“Sepanjang puluhan tahun saya menjadi peguam, ini kali pertama kami kalah dalam semua hujahan. Tidak satu pun berpihak kepada kami,” katanya.
Menggambarkan keadaan itu, beliau berkata ia seolah-olah perlawanan bola sepak di mana pihak pendakwaan menjaringkan 100 gol, manakala pihak pembelaan langsung tidak memperoleh jaringan.
“Walaupun hujahan kecil, keputusan tetap memihak kepada pendakwaan,” katanya.
Shafee berkata, pasukan pembelaan sebenarnya sudah menjangkakan keputusan bersalah terhadap Najib.
“Keputusan itu mengecewakan, tetapi ia tidak mengejutkan. Kami sudah menjangkakannya,” katanya sambil mempersoalkan kewajaran hukuman denda yang dikenakan.
“Jumlah denda itu, pada pandangan saya, tidak masuk akal,” katanya.
Terdahulu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion ke atas Najib selepas beliau didapati bersalah atas 25 pertuduhan berkaitan penyalahgunaan kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
Najib disabitkan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah undang-undang berkaitan, sekali gus membuka laluan kepada proses rayuan yang dijangka menjadi tumpuan nasional dalam masa terdekat.
Onn Hafiz tak perlu jadi ‘drama king’, Sheikh Umar cabar dedah pihak sekat masuk FELDA
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
Puad diminta bertenang, Mat Maslan minta fokus bantu hadapi PRN Johor
PRN Johor: Bekas ADUN Bersatu calon BN di Endau, Onn Hafiz kekal di Machap
Mat Sabu hanya suarakan pandangan, bukan sindir sesiapa: Anwar
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar