Anwar kecam tindakan serangan AS terhadap Venezuela

January 4, 2026 · Isu semasa

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro bersama isterinya dalam satu operasi ketenteraan, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara.

Anwar berkata operasi itu, yang disifatkan luar biasa dari segi skop dan sifatnya, merupakan penggunaan kekerasan secara tidak sah terhadap sebuah negara berdaulat serta mencipta duluan berbahaya dalam hubungan antarabangsa.

Menurut beliau, penyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan melalui campur tangan luar bukan sahaja mencabar norma global, malah menghakis prinsip asas ketertiban dunia.

“Presiden Maduro dan isterinya mesti dibebaskan tanpa sebarang kelewatan yang tidak wajar.

“Walau apa pun alasannya, campur tangan luar untuk menggulingkan kerajaan yang sedang memerintah melemahkan kerangka undang-undang antarabangsa dan sekatan terhadap penggunaan kuasa antara negara,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Semalam, AS dilaporkan melancarkan serangan ke atas Venezuela sebelum menahan Maduro dan isterinya, Cilia Flores, dan membawa mereka keluar dari negara itu.

Untuk rekod, tindakan seumpama itu jarang berlaku di rantau Amerika Latin, dengan campur tangan langsung terakhir oleh AS direkodkan pada 1989 ketika pencerobohan ke atas Panama bagi menggulingkan Manuel Noriega.

Media antarabangsa turut melaporkan bahawa Maduro dan isterinya telah didakwa di Mahkamah Daerah Selatan New York atas beberapa pertuduhan jenayah, termasuk berkaitan narkotik dan keganasan yang melibatkan perdagangan dadah haram.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan rakyat Venezuela mempunyai hak mutlak untuk menentukan masa depan politik mereka sendiri tanpa tekanan atau campur tangan kuasa luar.

Beliau mengingatkan sejarah membuktikan perubahan kepimpinan yang dicetuskan melalui kekerasan asing sering membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

“Malaysia kekal berpegang kepada prinsip menghormati undang-undang antarabangsa dan kedaulatan sebagai asas hubungan aman antara negara,” katanya.

Beliau menambah dialog, pembabitan konstruktif dan usaha meredakan ketegangan adalah jalan paling berkesan bagi melindungi orang awam serta membolehkan rakyat Venezuela mengejar aspirasi sah mereka tanpa menanggung penderitaan berpanjangan.

Berita berkaitan
Acara rasmi kerajaan dikecilkan, pastikan perbelanjaan berhemah: Fahmi
16 jam lalu· Isu semasa
Kerajaan Negeri Sembilan berjalan seperti biasa, isu adat tak dicampuri: Fahmi
16 jam lalu· Politik
Krisis Negeri Sembilan tak gugat kestabilan Kerajaan Perpaduan: PMX
April 28, 2026· Politik
Persoalan institusi Undang ditangani ikut proses sah dan bijaksana: Anwar
April 28, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Kerajaan susun semula perbelanjaan, perkhidmatan rakyat tidak terjejas: MOF
13 jam lalu · Isu semasa
Kos harga tenaga dijangka melonjak susulan krisis di Asia Barat: Bank Dunia
16 jam lalu · Isu semasa
Peniaga lesap RM610,000 terjerat pelaburan palsu
17 jam lalu · Isu semasa
AGC tolak permohonan Namewee, kes dadah diteruskan: Laporan
17 jam lalu · Isu semasa
Projek RM1.1 bilion: Bekas pembantu Rafizi sambung beri keterangan esok
April 28, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
February 13, 2026
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan
February 13, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok