Kemelut politik Negeri Sembilan.
Anwar Ibrahim menegaskan kemelut pentadbiran di Negeri Sembilan tidak memberi kesan kepada kestabilan Kerajaan Perpaduan, sambil meminta semua pihak mengelak daripada membuat spekulasi berlebihan.
Perdana Menteri berkata, pertemuan dengan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, dijangka berlangsung bagi membincangkan perkembangan terkini dan tidak wajar membuat pelbagai andaian mendakwa kerajaan akan bertukar.
“Janganlah buat banyak andaian dalam politik ini, tidak perlu andaian,” katanya selepas menghadiri majlis Temu Anwar dan majlis peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI hari ini.
Krisis ini tercetus susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Namun, Anwar menegaskan tiada keperluan mendesak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini.
Menurutnya, keputusan itu selari dengan nasihat Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang mahu pentadbiran negeri diteruskan sementara proses perundangan berjalan.
“Setakat ini tidak timbul isu bubar. Tuanku minta pentadbiran diteruskan sementara proses lain dilaksanakan mengikut undang-undang,” jelasnya.
Beliau turut menekankan sistem pentadbiran Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri, termasuk peranan empat Undang dalam pelantikan dan penyingkiran Menteri Besar.
“Ia tidak semudah yang dibayangkan kerana perlu melalui proses yang ditetapkan,” katanya.
Sebagai latar, Negeri Sembilan mengamalkan sistem Adat Perpatih yang memberi peranan penting kepada institusi Undang dalam urusan politik negeri, menjadikannya berbeza daripada negeri lain di Malaysia.
Pada masa sama, Anwar mengingatkan agar isu melibatkan institusi diraja ditangani dengan penuh berhati-hati.
“Kita perlu menjaga kedudukan dan kemuliaan institusi Raja kerana ini sistem yang telah kita terima pakai,” katanya.
Beliau menambah, ruang perlu diberikan kepada semua pihak untuk berunding secara matang bagi memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara serta kebajikan rakyat tidak terjejas.
Saman fitnah: Pengarah Strategi Pemuda PAS Perak diarah bayar RM250,000
Parti Amanah nafi terlibat dalam isu dana zakat
Krisis Negeri Sembilan tak beri kesan kepada kerajaan pusat: Fahmi
Jalaluddin nafi berniat jadi Menteri Besar ganti Aminuddin
Krisis Negeri Sembilan: UMNO nafi ‘tebuk atap’, desak bubar DUN
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan