Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
UMNO menegaskan parti itu tidak mahu mengulangi kesilapan lama dalam mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan PAS termasuk cadangan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendekatan berhati-hati itu diambil selepas pengalaman lalu yang dianggap memberi pengajaran besar kepada parti dan mengibaratkan situasi berkenaan seperti “dipatuk ular yang sama buat kali kedua di tempat yang sama”.
Menurutnya, mesyuarat Biro Politik UMNO yang diadakan pada Isnin telah meneliti secara mendalam gesaan daripada Pemuda UMNO yang mahu parti itu menjalin semula kerjasama politik dengan PAS.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan perkara tersebut masih berada di peringkat perbincangan dan belum ada sebarang keputusan muktamad.
“Kita tidak mahu bernostalgia dengan mana-mana nama atau pendekatan lama yang pernah dicadangkan sebelum ini.
“Semua ini masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan,” katanya dipetik laporan media.
Beliau menambah, perincian perlu diberi perhatian serius supaya UMNO tidak mengulangi kesilapan sama.
“Kita tidak mahu dipatuk ular yang sama buat kali kedua di tempat yang sama,” katanya lagi.
Ahmad Zahid mengulas sama ada UMNO akan menghidupkan semula kerjasama dengan PAS di bawah payung MN, susulan perkembangan politik semasa yang semakin dinamik.
Sebelum ini, Konvensyen Khas Pemuda UMNO menyaksikan Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, menggesa kepimpinan parti agar mempertimbangkan semula penubuhan MN sebagai langkah memperkukuh kedudukan politik orang Melayu dan Islam.
Cadangan itu turut mendapat reaksi positif daripada Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang menyifatkannya sebagai satu langkah penting ke arah memperkukuh perpaduan ummah.
Menurutnya, kerjasama sedemikian boleh menjadi kunci kepada kebangkitan semula kekuatan politik Melayu-Islam.
Walaupun pelbagai pandangan dilontarkan, UMNO menegaskan sebarang keputusan akan dibuat secara teliti dan berlandaskan kepentingan parti serta kestabilan politik negara.
Onn Hafiz tak perlu jadi ‘drama king’, Sheikh Umar cabar dedah pihak sekat masuk FELDA
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
PRN Johor: Bekas ADUN Bersatu calon BN di Endau, Onn Hafiz kekal di Machap
Mat Sabu hanya suarakan pandangan, bukan sindir sesiapa: Anwar
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar