Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) susulan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang berlangsung semalam.
Keputusan tersebut dilihat sebagai isyarat sokongan berterusan pengundi terhadap khidmat dan pendekatan BN di peringkat tempatan.
Menurut Perdana Menteri, mandat yang diberikan rakyat perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
“Kemenangan ini adalah amanah yang menuntut kepimpinan berintegriti, mutu perkhidmatan yang berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Madani untuk terus mengukuhkan semangat muafakat dan kebersamaan antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Kerjasama ini penting bagi memastikan pembangunan Sabah diperkukuh, kesejahteraan rakyat dipelihara dan agenda Madani dapat dilaksanakan secara bersama,” katanya.
Dalam PRK berkenaan, BN mempertahankan kedua-dua kerusi dengan kemenangan calon Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar, dan calon DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob.
Anwar turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua wakil rakyat baharu itu dan berharap mereka dapat menjalankan tugas dengan berkesan demi kepentingan rakyat setempat.
PRK Kinabatangan dan Lamag diadakan susulan kekosongan kerusi yang berlaku sebelum ini, sekali gus menarik perhatian nasional memandangkan kawasan berkenaan merupakan kubu kuat BN di Sabah.
Kempen menyaksikan tumpuan kepada isu kos sara hidup, pembangunan luar bandar serta peluang ekonomi untuk belia.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh legasi khidmat Allahyarham Bung Moktar Radin yang pernah mewakili kawasan berkenaan.
“Saya mendoakan agar legasi khidmat dan kepimpinan beliau dapat diteruskan dan dipelihara sebaiknya,” katanya.
Krisis takhta NS, Syahredzan nasihat jangan cabar institusi Raja sesuka hati
Ab Rauf titip tiga pesan sebelum DUN Melaka dibubar
PUTRA lapor polis, dakwa Exco Negeri Sembilan ganggu institusi Raja
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum